Connect with us

Terkini

100 syarikat bas persiaran zon Utara bakal gulung tikar akibat kenaikan diesel

Published

on

Foto: Bas Persiaran Zon Utara.
  • Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff, berkata kebanyakan pengusaha kini tidak dapat meneruskan operasi seperti biasa berikutan tekanan kos semakin tinggi selain tempahan pelbagai pihak semakin berkurangan.
  • “Sekarang harga diesel mencecah RM4.72 seliter dan tidak mustahil terus meningkat pada masa akan datang.
  • “Kos operasi juga meningkat dua kali ganda, malah pelanggan membatalkan tempahan perkhidmatan bas persiaran di bawah naungan kami walaupun kami sedia berbincang dengan mereka,” katanya.

ALOR SETAR – Kira-kira 100 syarikat pengusaha bas persiaran di Zon Utara kini berdepan risiko ‘gulung tikar’ berikutan peningkatan harga diesel, kenaikan kos operasi serta penurunan jumlah tempahan.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff, berkata syarikat yang terkesan melibatkan pengusaha dari Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang bergantung kepada sektor pelancongan.

Menurut beliau, kebanyakan pengusaha kini tidak dapat meneruskan operasi seperti biasa berikutan tekanan kos yang semakin tinggi selain tempahan daripada pelbagai pihak semakin berkurangan.

“Sekarang harga diesel mencecah RM4.72 seliter dan tidak mustahil terus meningkat pada masa akan datang.

“Kos operasi juga meningkat dua kali ganda, malah pelanggan membatalkan tempahan perkhidmatan bas persiaran di bawah naungan kami walaupun kami sedia berbincang dengan mereka.

“Setakat ini, saya dimaklumkan kira-kira 50 peratus tempahan sudah dibatalkan,” katanya ketika menghadiri perhimpunan aman yang disertai 31 pengusaha bas persiaran Zon Utara, di sini, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan keadaan semasa memberi tekanan besar kepada pengusaha dan boleh menjejaskan kelangsungan syarikat jika berterusan, lebih-lebih lagi ketika negara sedang bersiap menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tambahnya, industri bas persiaran memainkan peranan penting sebagai tulang belakang dalam pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa di negara ini.

Namun, katanya, kenaikan harga diesel memberi kesan ketara kepada kos operasi sekali gus menjejaskan keupayaan industri untuk terus bertahan.

“Pihak kami akan menghantar satu memorandum kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Perdana Menteri supaya masalah yang kami hadapi sekarang dapat diatasi segera.

“Melalui memorandum itu, kami mencadangkan bantuan kewangan sementara dapat diberikan, selain berharap subsidi bersasar diesel diberikan kepada pengusaha bas persiaran berdaftar di bawah MOTAC,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author