Connect with us

Terkini

100% pingat emas anugerah sains antarabangsa SJKT hanya ‘scam’?

Published

on

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Nedumaran Elangovan.
  • Menerusi beberapa hantaran di Facebook, seorang pengguna, Nedumaran Elangovan  mendakwa “100% pingat emas dalam pameran sains antarabangsa yang dimenangi sekolah Tamil adalah penipuan daripada penganjur ‘bayar untuk menang’,” dan wujud satu rangkaian terancang di sebalik penganjuran program tersebut.
  • Menurutnya, “sindiket ini diketuai seorang lelaki Malaysia… yang kini mempunyai persatuannya sendiri,” dengan penglibatan individu daripada kumpulan “Pusat Pendidikan STEM” yang mempunyai hubungan dengan PIBG sekolah Tamil.
  • “Syarikat membawa pelajar ke Taiwan dan sendiri memberitahu bahawa pingat itu hanyalah pingat penyertaan. Ada ahli keluarga mengatakan pingat itu diberikan oleh syarikat tersebut, bukan daripada badan lain,” katanya.

KUALA LUMPUR – Satu siri dakwaan yang tular di media sosial kini mencetuskan persoalan mengenai ketelusan beberapa program pameran sains antarabangsa yang melibatkan pelajar sekolah Tamil di Malaysia.

Menerusi beberapa hantaran di Facebook, seorang pengguna platform media sosial itu, Nedumaran Elangovan mendakwa bahawa “100% pingat emas dalam pameran sains antarabangsa yang dimenangi oleh sekolah Tamil adalah penipuan daripada penganjur ‘bayar untuk menang’,” sambil menyifatkan program tersebut sebagai “versi junior kepada Britishpedia.”

Beliau yang dikatakan mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) turut mendakwa kewujudan satu rangkaian terancang di sebalik penganjuran program tersebut. 

Menurutnya, “sindiket ini diketuai oleh seorang lelaki Malaysia… yang kini mempunyai persatuannya sendiri,” dengan penglibatan individu daripada kumpulan “Pusat Pendidikan STEM” yang mempunyai hubungan dengan PIBG sekolah Tamil.

Dalam hantaran itu, Nedumaran turut mendakwa sekolah-sekolah menjadi sasaran melalui naratif tertentu. 

“Mereka akan mendekati sekolah-sekolah ini dan memanipulasi mereka dengan mengatakan KPM telah mengabaikan mereka, tiada siapa mahu melihat mereka berkembang, sistem tidak adil,” katanya.

Menurut beliau, program-program ini diadakan di luar negara seperti Taiwan, Indonesia, India dan Vietnam, namun disifatkan sebagai acara persendirian di negara tuan rumah.

Beliau menggambarkan keadaan pertandingan tersebut sebagai tidak formal.

“Anda bercakap tentang sebuah dewan di restoran dengan meja jamuan dan beberapa kerusi. Hakim adalah rakan dan kenalan mereka. Semakin banyak anda bayar, semakin banyak pingat anda menang.”

Beliau juga mendakwa penyertaan melibatkan kos yang tinggi. 

“Apabila sekolah bersetuju, mereka perlu membeli pakej yang merangkumi perjalanan, penginapan, lawatan dan pingat,” katanya, sambil menambah terdapat ibu bapa yang “mengaku membayar sehingga RM20,000 untuk program.”

Dari segi pengiktirafan, beliau mendakwa sebahagian pingat yang diterima bukanlah berdasarkan pencapaian sebenar. 

“Syarikat membawa pelajar ke Taiwan dan sendiri memberitahu bahawa pingat itu hanyalah pingat penyertaan.

“Ada ahli keluarga mengatakan pingat itu diberikan oleh syarikat tersebut, bukan daripada badan lain,” katanya.

Nedumaran turut mempersoalkan tahap kredibiliti dan liputan program tersebut. 

“Tiada langsung liputan antarabangsa kecuali media India Malaysia,” katanya, selain mendakwa platform penganjur tidak memaparkan keputusan terperinci atau bukti dokumentasi.

“Jika sekolah-sekolah itu benar-benar pemenang pingat, mengapa tidak ramai daripada mereka menang di peringkat kebangsaan? Di mana liputan berita antarabangsa?” soalnya.

Justeru, beliau menggesa ketelusan daripada pihak terlibat dan meminta ibu bapa supaya lebih berhati-hati.

“Jika anda mahu menjana wang, berterus teranglah kepada ibu bapa dan guru tentang apa yang anda jual.

“Jangan menipu kanak-kanak bahawa mereka telah mencapai sesuatu, yang akhirnya tidak bernilai,” katanya.

Setakat ini, dakwaan tersebut adalah berdasarkan hantaran media sosial dan belum mendapat sebarang maklum balas rasmi daripada pihak terlibat.

Akhir tahun lalu, World of Buzz melaporkan 24 pelajar Malaysia mengungguli World Robot Games (WRG) 2025 di Taipei, Taiwan, dengan membawa pulang lebih daripada 80 pingat daripada pertandingan yang berlangsung 25 November hingga 1 Disember tahun lalu.

WRG dikatakan sebuah platform robotik dan STEM yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari 10 negara termasuk Taiwan, Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura dan Malaysia.

Bagaimanapun, kejayaan itu didakwa tidak mendapat pengiktiafan dan penghargaan daripada Kementerian Pendidikan.

Terbaru, Astro Awani melaporkan empat pelajar Malaysia melakar kejayaan di Anugerah Inovasi Bangkok apabila meraih dua pingat emas dan tempat kedua bagi Kategori Kejuruteraan Sekolah Rendah.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan melahirkan rasa bangga atas pencapaian itu dan menyifatkannya  sebagai simbol keupayaan generasi muda dalam mengangkat martabat negara melalui inovasi dan kecemerlangan akademik. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author