Connect with us

Terkini

Tiada penghinaan ketika pembersihan binaan haram di Rawang – Mantan YDP YADIM

Published

on

Foto: Mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.
  • Mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, beliau dan isteri sempat menghadiri serta menyaksikan sendiri program tersebut yang menurutnya berjalan dalam keadaan tertib dan penuh adab Islam.
  • Menurut beliau, pengurusan kuil telah diberi peluang untuk mengambil barangan yang perlu dan proses itu diselesaikan dengan baik tanpa sebarang provokasi.
  • Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, beliau turut mendengar taklimat daripada Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang menegaskan isu berkenaan bukanlah isu agama, perkauman atau politik kepartian.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perbuatan menghina dan mencerca berlaku sepanjang gotong-royong kerja pembersihan binaan haram di tapak Sekolah Darul Quran Waal Hadith di Rawang milik Yayasan Kubra.

Mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, beliau dan isteri sempat menghadiri serta menyaksikan sendiri program tersebut yang menurutnya berjalan dalam keadaan tertib dan penuh adab Islam.

Menurut beliau, pengurusan kuil telah diberi peluang untuk mengambil barangan yang perlu dan proses itu diselesaikan dengan baik tanpa sebarang provokasi.

“Tiada sebarang perbuatan menghina dan mencerca, ia menepati perintah Allah SWT: ‘Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan’ (Al-An’am: 108),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, beliau turut mendengar taklimat daripada Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang menegaskan isu berkenaan bukanlah isu agama, perkauman atau politik kepartian.

“Beliau menegaskan ini bukan isu agama dan perkauman. Ia juga bukan isu politik mana-mana parti. Ini isu membuat binaan di tanah orang.

“Beliau menegur kerajaan dan jentera kerajaan yang terdiri daripada pihak penguat kuasa yang lambat bertindak. 

“Teguran ini bukan ditujukan kepada Kerajaan Madani sahaja, malah melibatkan kerajaan sebelum ini dan kerajaan pada masa akan datang,” tegasnya.

Hasanuddin yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen berkata, dalam sistem pentadbiran negara, penggubal dasar dan undang-undang serta pengamal undang-undang mempunyai peranan tersendiri dan isu berkenaan wajar ditangani secara profesional serta berlandaskan peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pertimbangan dan tindakan sewajarnya perlu melibatkan pihak berkuasa yang mempunyai autoriti.

Menurutnya, rundingan telah berlangsung selama bertahun-tahun, laporan polis dan aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah dibuat selain gesaan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media sosial.

“Semuanya teratur. Masalahnya pada orang luar yang menjadi batu api dan mengambil kesempatan untuk menjadi hero,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), PBT, jiran-jiran penduduk serta rakan-rakan persilatan yang memberikan kerjasama sepanjang program gotong-royong tersebut. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author