Terkini
Tan Sri Daud Bakar didakwa bersubahat dalam urus niaga sekuriti tanpa lesen
- Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen sah, kira-kira tiga tahun lalu.
- Mohd Daud, 62, yang juga tokoh kewangan Islam terkemuka negara, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen sah, kira-kira tiga tahun lalu.
Mohd Daud, 62, yang juga tokoh kewangan Islam terkemuka negara, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa selaku wakil kepada syarikat yang menjalankan aktiviti jual beli komoditi, Energy Eco Berhad, bersubahat dengan AUF MBZ dalam menjalankan aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti.
Pendakwaan menyatakan AUF MBZ bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar untuk menjalankan aktiviti berniaga dalam sekuriti. Kesalahan tersebut didakwa berlaku akibat persubahatan oleh pihak Energy Eco, dan sebagai wakil syarikat ketika kejadian, Mohd Daud disifatkan melakukan kesalahan berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis C6-1, Jalan Reef ½, Pusat Perniagaan Reef, Rawang, dalam daerah Gombak antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama perenggan 370(c) dan Seksyen 367(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 58(4) yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Shoba Venu Gobal, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan tersebut adalah kesalahan tidak boleh dijamin serta bersifat serius berdasarkan peruntukan hukuman.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin, selain memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melapor diri di pejabat SC terdekat sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam bela Mohd Haziq Razali memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan sejak 2024.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Daud diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, serta mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 10 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes-The Merdeka Times