Connect with us

Terkini

Tak pernah iktiraf Israel justifikasi Malaysia tak anggotai Lembaga Keamanan

Published

on

Foto: Penganalisis geopolitik dan hubungan antarabangsa, Dr. Zokhri Idris (Gambar kecil).
  • Penganalisis geopolitik dan hubungan antarabangsa, Dr. Zokhri Idris berkata, pendirian tersebut selaras dengan prinsip konsisten Malaysia yang tidak menjalinkan hubungan dengan Israel dalam mana-mana pertubuhan atau inisiatif antarabangsa.
  • Bagaimanapun, Dr. Zokhri Idris menjelaskan, perkara tersebut langsung tidak menghalang usaha Malaysia bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
  • Dr. Zokhri Idris berpandangan keputusan Malaysia menolak penyertaan dalam Lembaga Keamanan bukanlah satu kerugian diplomatik, sebaliknya mencerminkan ketegasan prinsip dan konsistensi dasar luar negara.

KUALA LUMPUR – Dasar luar Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara boleh digunakan sebagai satu justifikasi mengapa negara ini tidak menganggotai Lembaga Keamanan, kata seorang penganalisis geopolitik.

Penganalisis geopolitik dan hubungan antarabangsa, Dr. Zokhri Idris berkata, pendirian tersebut selaras dengan prinsip konsisten Malaysia yang tidak menjalinkan hubungan dengan Israel dalam mana-mana pertubuhan atau inisiatif antarabangsa.

“Dasar luar Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara boleh digunakan sebagai satu justifikasi mengapa kita tidak menganggotai Lembaga Keamanan. Kita tidak perlu bekerjasama dengan Israel dalam mana-mana pertubuhan atau inisiatif kerana kita tidak mengiktiraf kedaulatan Israel,” katanya kepada The Merdeka Times.

Bagaimanapun, Dr. Zokhri Idris menjelaskan, perkara tersebut langsung tidak menghalang usaha Malaysia bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

“Tidak bermakna kita tidak membantu Palestin. Kita menyumbang dalam aspek bantuan kemanusiaan dalam ruang lingkup yang dibenarkan, kerana bagi Malaysia, Palestin adalah sebuah negara dan kita sudah menjalin hubungan diplomatik sejak sekian lamanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Zokhri Idris berpandangan keputusan Malaysia menolak penyertaan dalam Lembaga Keamanan bukanlah satu kerugian diplomatik, sebaliknya mencerminkan ketegasan prinsip dan konsistensi dasar luar negara.

“Ini menunjukkan bahawa Malaysia konsisten dalam mempromosi dasar Malaysia yang pragmatik dan fleksibel.

“Tidak menganggotai Lembaga Keamanan tidak bermaksud kita tidak menyokong kepada usaha pemulihan Palestin, tetapi kita terus membantu dengan bantuan kemanusiaan,” jelasnya.

Tambahnya, Malaysia terus mengekalkan pendekatan berkecuali dalam dasar luarnya dengan memperluas hubungan diplomatik bersama kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China serta negara-negara ASEAN, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa menjejaskan pendirian tegas negara yang tidak mengiktiraf Israel.

“Peluang diplomatik boleh diperoleh dalam cara yang lain, khususnya Malaysia mempamerkan neutraliti dalam berhubung dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China. 

“Di bawah pemerintahan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), banyak perjumpaan dan rapat umum dijalankan dengan AS dan China, dan negara-negara ASEAN. Malaysia berdiri atas prinsip berkecuali dan berdiplomasi dengan mana-mana kerajaan, kecuali Israel,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr. Zokhri Idris menyifatkan masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan Lembaga Keamanan dalam memulihkan keamanan dan melindungi penduduk asal di Palestin.

“Pada pandangan peribadi saya, kita masih perlu mengkaji nilai keberkesanan Lembaga Keamanan ini. Masih terlalu awal untuk menyimpulkan Lembaga Keamanan berupaya memulihkan keamanan dan yang paling penting melindungi penduduk asal di Palestin,” ujarnya. 

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama kemahiran antara penjawat awam dan jaringan industri dengan Palestin, sambil terus berkempen menentang keganasan dan sebarang tindakan genocide di wilayah itu.

Semalam media melaporkan, Malaysia akan terus memperkukuh peranannya dalam membantu rakyat Palestin di Gaza meskipun tidak menganggotai Lembaga Keamanan yang ditubuhkan  Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata Malaysia sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam apa juga cara bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel, termasuk melalui penyaluran bantuan kemanusiaan, sokongan diplomatik serta kerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author