Terkini
Rumah ibadat tanpa kelulusan, Jika dibiarkan, isu sama berulang 20–30 tahun – Arul Kumar
- Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata penguatkuasaan awal dan berterusan penting bagi mengelakkan isu berlarutan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta pertikaian pada masa hadapan.
- “Jika pembinaan rumah ibadat baharu tidak mendapat kelulusan, tindakan perlu diambil lebih awal. Jika perkara ini dibiarkan, isu sama mungkin berulang dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita.
SEREMBAN – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarahkan supaya mengambil tindakan segera dan berhemah terhadap pembinaan rumah ibadat baharu yang tidak berlesen, bagi memastikan keharmonian masyarakat serta perancangan pembangunan negeri berjalan secara tersusun.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata penguatkuasaan awal dan berterusan penting bagi mengelakkan isu berlarutan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta pertikaian pada masa hadapan.
Menurut beliau, sebarang pembinaan rumah ibadat baharu tanpa kelulusan perlu ditangani segera mengikut peruntukan undang-undang, selaras dengan penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tidak membenarkan rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan.
“Jika pembinaan rumah ibadat baharu tidak mendapat kelulusan, tindakan perlu diambil lebih awal. Jika perkara ini dibiarkan, isu sama mungkin berulang dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bagi rumah ibadat yang telah lama wujud, pendekatan harmoni serta rundingan perlu diberi keutamaan bagi mencari penyelesaian yang adil dan tidak menjejaskan keharmonian setempat.
Arul turut memaklumkan bahawa sekiranya terdapat tanah yang sesuai untuk tujuan ibadat, pihak berkaitan boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi mewartakan kawasan tersebut sebagai tanah rizab rumah ibadat.
Jika lokasi tidak sesuai, cadangan tapak alternatif boleh dikemukakan.
Dalam aspek perancangan pembangunan, kerajaan negeri menetapkan syarat jelas kepada pemaju, termasuk keperluan menyediakan tanah untuk kemudahan rumah ibadat dalam projek pembangunan baharu.
“Bagi pembangunan dengan populasi 10,000 penduduk, pemaju diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya 0.4 hektar tanah bagi rumah ibadat bukan Islam dan setakat ini pemaju mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya. -The Merdeka Times