Terkini
Lapid janji pasangan LGBTQ nikmati hak setara jika kembali berkuasa
- “Ibu dan bapa, bapa dan bapa, ibu dan ibu, semuanya akan mempunyai hak yang sama dan semuanya akan setara di sisi undang-undang. Kami berdiri bersama seluruh komuniti gay hari ini untuk menyatakan bahawa realiti bukanlah takdir yang telah ditentukan. Kami adalah penentu nasib kami sendiri,” – Bekas Perdana Menteri negara haram Israel, Yair Lapid
- Lapid turut mengkritik kerajaan semasa Israel dan berkata mana-mana kerajaan yang mempunyai masalah dengan komuniti LGBT tidak seharusnya terus memerintah.
BAITULMAQDIS – Bekas Perdana Menteri negara haram Israel, Yair Lapid berjanji akan memperkenalkan undang-undang kesaksamaan perkahwinan dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya kerajaan baharu dibentuk, sekaligus memberikan hak yang sama kepada semua pasangan tanpa mengira orientasi seksual.
Lapid membuat pengumuman tersebut ketika berucap pada Pride Parade Baitulmaqdis ke-24 yang berlangsung pada Khamis sempena Bulan Pride, yang dihadiri ribuan peserta.
Menurut beliau, undang-undang yang dicadangkan itu akan memastikan semua pasangan di Israel menerima hak yang sama di sisi undang-undang.
“Ibu dan bapa, bapa dan bapa, ibu dan ibu, semuanya akan mempunyai hak yang sama dan semuanya akan setara di sisi undang-undang,” katanya.
Lapid turut menegaskan bahawa keadaan semasa bukan sesuatu yang tidak boleh diubah dan komuniti LGBT mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
“Kami berdiri bersama seluruh komuniti gay hari ini untuk menyatakan bahawa realiti bukanlah takdir yang telah ditentukan. Kami adalah penentu nasib kami sendiri,” katanya.
Beliau turut mengkritik kerajaan semasa Israel dan berkata mana-mana kerajaan yang mempunyai masalah dengan komuniti LGBT tidak seharusnya terus memerintah.
“Jika kerajaan ini mempunyai masalah dengan golongan LGBT, maka kerajaan ini sepatutnya berundur kerana komuniti ini tidak akan ke mana-mana,” katanya.
Turut hadir dalam perarakan tersebut ialah Ahli Knesset (Parlimen Israel), Gilad Kariv, yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan insiden keganasan yang menyasarkan komuniti LGBT di negara itu.
Menerusi hantaran di platform X, Kariv mendakwa tahun lalu mencatatkan rekod baharu bagi kejadian keganasan terhadap golongan LGBT di Israel.
“Kami tidak akan berputus asa mempertahankan hak setiap lelaki dan wanita muda, setiap individu di Israel, untuk berasa selamat, disayangi dan dihargai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, perarakan itu turut menyaksikan kehadiran beberapa kumpulan penunjuk perasaan yang membantah tindakan ketenteraan Israel di Gaza serta layanan terhadap rakyat Palestin.
Antara plakad yang dibawa oleh peserta protes tertera slogan seperti “No Pride in Genocide” dan “No Pride in Apartheid” sebagai tanda bantahan terhadap dasar dan tindakan Israel terhadap Palestin.-The Merdeka Times