Terkini
Permohonan maaf tidak gugurkan tanggungjawab undang-undang – ABIM
- Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, meskipun pihak terlibat telah membuat permohonan maaf, siasatan dan tindakan sewajarnya tetap perlu dilaksanakan menurut lunas undang-undang.
- “Kerajaan dan masyarakat Madani perlu memperkukuh pendidikan literasi agama dan kenegaraan. Kefahaman tentang sensitiviti simbol agama adalah asas penting dalam membina budaya saling hormat dalam negara majmuk,” tegasnya.
- Justeru, katanya semua pihak perlu bertindak dengan kematangan dan tidak memanipulasi insiden tersebut untuk keuntungan politik atau sentimen perkauman.
KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa permohonan maaf tidak menggugurkan tanggungjawab undang-undang berhubung tindakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memijak al-Quran.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, meskipun pihak terlibat telah membuat permohonan maaf, siasatan dan tindakan sewajarnya tetap perlu dilaksanakan menurut lunas undang-undang.
“ABIM mengambil maklum permohonan maaf yang telah dibuat. Namun perlu ditegaskan bahawa permohonan maaf tidak menggugurkan tanggungjawab undang-undang.
“Malaysia adalah negara hukum. Penghinaan terhadap mana-mana agama, apatah lagi kitab suci, mesti disiasat dan diambil tindakan berdasarkan lunas undang-undang yang adil dan telus,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau berkata, tindakan berkenaan lebih mendukacitakan kerana ia berlaku dalam bulan Ramadan, bulan yang dimuliakan sebagai bulan turunnya al-Quran.
“Ramadan adalah madrasah rohani yang mendidik umat Islam tentang kesabaran, adab dan penghormatan terhadap wahyu. Justeru, sebarang bentuk penghinaan terhadap al-Quran pada waktu yang penuh keberkatan ini bukan sahaja mencederakan perasaan umat Islam, tetapi menyentuh sensitiviti terdalam keimanan mereka.
“Al-Quran bukan sekadar teks keagamaan, ia adalah wahyu Ilahi, sumber hukum, panduan akhlak dan asas peradaban umat Islam,” jelasnya.
Justeru, Ahmad Fahmi menegaskan perbuatan memijaknya adalah tindakan yang tidak beradab, melampaui batas kebebasan bersuara, serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kebebasan bersuara tidak pernah bermaksud kebebasan untuk menghina agama, khususnya dalam masyarakat plural yang menuntut tanggungjawab bersama.
“Umat Islam tidak boleh sama sekali mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang. Ramadan mengajar kita disiplin diri dan kawalan emosi. Mempertahankan maruah agama mesti dilakukan melalui saluran yang sah, beradab dan berhemah,” katanya.
“Kerajaan dan masyarakat Madani perlu memperkukuh pendidikan literasi agama dan kenegaraan. Kefahaman tentang sensitiviti simbol agama adalah asas penting dalam membina budaya saling hormat dalam negara majmuk,” tegasnya.
Tambah beliau, Ramadan seharusnya menjadi bulan menenangkan keadaan, bukan membakar ketegangan.
Justeru, katanya semua pihak perlu bertindak dengan kematangan dan tidak memanipulasi insiden tersebut untuk keuntungan politik atau sentimen perkauman.
“ABIM kekal berpegang pada prinsip bahawa keharmonian negara tidak boleh dibina atas sikap membiarkan penghinaan terhadap agama, namun ia juga tidak boleh dipertahankan melalui tindakan melampaui undang-undang.
“Maruah Islam dipelihara dengan ketegasan prinsip dan kemuliaan akhlak,” ujarnya. – The Merdeka Times