Connect with us

Terkini

Perbuatan pijak al-Quran satu penghinaan jelas, kejahatan, perlu hukuman tegas – Mufti Perlis

Published

on

Foto: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
  • “Ia satu perbuatan yang jelas bertujuan menghina dan mencabar. Hukumannya hendaklah jelas dan keras.” – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • Menurut beliau, masyarakat bukan Islam di negara ini mungkin melakukan kesilapan dalam isu-isu tertentu berkaitan sensitiviti agama kerana kurang memahami batas dan adab, namun tindakan memijak al-Quran tidak boleh dikategorikan dalam ruang kekhilafan itu.
  • “Memijak al-Quran bukan kekhilafan sebaliknya kejahatan dan cabaran yang mesti dibayar dengan hukuman yang setimpal,” katanya.

KUALA LUMPUR – Perbuatan memijak al-Quran tidak boleh dianggap sebagai satu kesilapan, kekhilafan atau salah faham, sebaliknya merupakan tindakan jelas bertujuan menghina dan mencabar kesucian kitab suci umat Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perbuatan tersebut tidak wajar dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

“Memijak al-Quran tidak boleh diandaikan satu kesilapan atau kekhilafan atau salah faham. 

“Ia satu perbuatan yang jelas bertujuan menghina dan mencabar. Hukumannya hendaklah jelas dan keras,” katanya kepada The Merdeka Times.

Tambah beliau, mana-mana pihak yang cuba membela perbuatan tersebut disifatkan cuba menjatuhkan martabat kitab suci tersebut.

Menurut beliau, masyarakat bukan Islam di negara ini mungkin melakukan kesilapan dalam isu-isu tertentu berkaitan sensitiviti agama kerana kurang memahami batas dan adab, namun tindakan memijak al-Quran tidak boleh dikategorikan dalam ruang kekhilafan tersebut.

“Masyarakat bukan Muslim di Malaysia mungkin tersilap dalam berinteraksi dengan perkara berkaitan Islam di sudut pemilihan perkataan atau pandangan yang mereka mungkin tidak faham.

“Tetapi memijak al-Quran bukan kekhilafan sebaliknya kejahatan dan cabaran yang mesti dibayar dengan hukuman yang setimpal.

Mufti terbabit turut menegaskan toleransi antara agama perlu dilaksanakan secara bijaksana dan berlandaskan rasa hormat terhadap kepercayaan masing-masing bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

“Toleransi yang tidak kena tempat akan hanya menjadi api dalam sekam, bom jangka yang boleh memusnahkan keharmonian. Bertindak sebelum terlewat,” ujarnya.

Baru-baru ini, media melaporkan, tular di media sosial sekeping foto yang memaparkan tindakan seorang lelaki memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran dipercayai dimuat naik oleh seorang pelajar sebuah universiti awam yang mencetuskan kemarahan dan mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Pelajar berusia 21 tahun itu kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka. Beliau mengakui bertindak dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam, selain mendakwa dirinya tidak berada dalam keadaan waras dan tenang ketika kejadian berlaku.

Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan pelajar berkenaan bagi membantu siasatan. Dia kini direman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author