Terkini
Pengasas AUF MBZ didakwa jalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen
- Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang juga suami kepada penyanyi dan aktivis Heliza Helmi, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail.
- Pendakwaan dibuat mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) akta yang sama.
- Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) akta berkenaan yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KUALA LUMPUR – Pengasas dan Presiden AUF MBZ, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen yang sah.
Mahadi, 43, yang juga suami kepada penyanyi dan aktivis Heliza Helmi, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, Mahadi didakwa sebagai wakil kepada AUF MBZ Consortium PLT menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan syarikat tersebut bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) akta berkenaan yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin, selain memohon mahkamah mengarahkan pasport tertuduh diserahkan dan mewajibkan beliau melapor diri di pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebulan sekali.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta memerintahkan semua syarat tambahan seperti yang dipohon oleh pihak pendakwaan dilaksanakan.
Mahkamah menetapkan 10 April sebagai tarikh sebutan kes.-The Merdeka Times