Connect with us

Terkini

Pembinaan rumah ibadat wajib ikut peraturan- Sultan Pahang

Published

on

Foto: Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
  • “Undang-undang ini bukan untuk menyekat, bukan juga untuk menindas, tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” – Sultan Pahang, Sultan Abdullah
  • Baginda menyeru pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memperjelaskan prosedur dan memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.

TEMERLOH – Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa pembinaan mana-mana rumah ibadat di negeri ini wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.

Baginda bertitah, tindakan membina rumah ibadat tanpa melalui saluran yang sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama.

“Undang-undang ini bukan untuk menyekat, bukan juga untuk menindas, tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera di sini, hari ini.

Dalam titah tersebut, Baginda turut mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk kepada peraturan sedia ada boleh menimbulkan kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah Baginda sambil menegaskan bahawa Negeri Pahang memerlukan ketertiban dan bukannya tindakan terburu-buru yang boleh mengundang sengketa.

Sehubungan itu, Baginda menyeru pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memperjelaskan prosedur dan memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.

Dalam masa sama, rakyat diingatkan supaya bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan dan keharmonian negeri.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author