Terkini
Kuil haram di tanah Yayasan Kubra diroboh ikut undang-undang
- Menerusi satu hantaran di Facebook, pendakwah bebas, Firdaus Wong memaklumkan pihak yang disifatkan sebagai penceroboh telah hadir sebelum tengah malam untuk memindahkan berhala dari struktur berkenaan sebelum kerja-kerja perobohan dilaksanakan.
- “Kerja-kerja perobohan berjalan lancar mengikut lunas undang-undang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya sambil memaklumkan gotong-royong pembersihan tapak diteruskan mengikut jadual pada jam 5 petang ini.
RAWANG – Sebuah struktur kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang dilapor telah dirobohkan selepas tempoh notis 14 hari tamat, menurut kenyataan pendakwah bebas, Firdaus Wong.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan bahawa pihak yang disifatkan sebagai penceroboh telah hadir sebelum tengah malam untuk memindahkan berhala dari struktur berkenaan sebelum kerja-kerja perobohan dilaksanakan.
Menurutnya, perobohan itu dijalankan oleh Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia yang diketuai Tok Chindai serta Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PERKID) yang diketuai Ustaz Masridzi, selepas kedua-dua pihak dilantik oleh Yayasan Kubra selaku pemilik sah tanah berkenaan.
“Kerja-kerja perobohan berjalan lancar mengikut lunas undang-undang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya sambil memaklumkan gotong-royong pembersihan tapak diteruskan mengikut jadual pada jam 5 petang ini.
Firdaus turut menyatakan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah dimaklumkan berhubung tindakan tersebut dan memberi jaminan untuk menjaga ketenteraman awam serta tidak menghalang pemilik tanah mengambil tindakan ke atas tanah milik mereka.
Beliau dalam masa sama menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan individu atau kumpulan tertentu yang didakwanya cuba mengambil kesempatan terhadap isu tersebut.-The Merdeka Times