Terkini
Kongsi gambar pijak al-Quran, Individu bukan Islam tampil mohon maaf
- Seorang pengguna media sosial Threads yang dikenali sebagai ryvikselva tampil memohon maaf secara terbuka selepas memuat naik gambar memaparkan dirinya memijak kitab suci al-Quran, tindakan yang mencetuskan kemarahan dan kecaman ramai.
- “Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati atas gambar yang saya muat naik sebelum ini yang melibatkan al-Quran. Perbuatan saya adalah salah, tidak beradab dan sangat tidak menghormati,” katanya dalam kenyataan tersebut.
KUALA LUMPUR – Seorang pengguna media sosial Threads yang dikenali sebagai ryvikselva tampil memohon maaf secara terbuka selepas memuat naik gambar memaparkan dirinya memijak kitab suci al-Quran, tindakan yang mencetuskan kemarahan dan kecaman ramai.

Menerusi satu kenyataan permohonan maaf yang dimuat naik di platform sama, individu berkenaan mengakui perbuatannya adalah salah, tidak beradab serta sangat tidak menghormati sensitiviti umat Islam.
Beliau menegaskan tiada alasan yang boleh membenarkan tindakannya itu.
“Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati atas gambar yang saya muat naik sebelum ini yang melibatkan al-Quran. Perbuatan saya adalah salah, tidak beradab dan sangat tidak menghormati,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam, selain mengakui tidak berada dalam keadaan fikiran yang waras dan tenang ketika kejadian berlaku.
Beliau menyatakan kekesalan kerana membiarkan emosi menguasai diri sehingga melakukan sesuatu yang disifatkannya kini sebagai amat dikesali.

Individu itu turut mengakui bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang dimuliakan dan dihormati oleh umat Islam sebagai wahyu serta pedoman hidup.
Katanya, tindakannya sama sekali tidak mencerminkan kematangan serta rasa hormat terhadap agama dan masyarakat.
Beliau menegaskan bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan tersebut dan tidak menyalahkan mana-mana pihak lain. Hantaran berkenaan telah dipadamkan, dan beliau berjanji akan mengambil iktibar agar perkara sama tidak berulang.
Insiden tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ramai menyifatkan perbuatan itu sebagai melampaui batas serta menyentuh sensitiviti agama di negara ini.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung sama ada siasatan akan dijalankan terhadap insiden tersebut.-The Merdeka Times