Terkini
Kilang Bio Eneco di Gebeng tingkat keselamatan tenaga negara, sasar ekonomi rendah karbon
- Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Eldridge Energy Holdings Berhad, Yeo Hock Cheong berkata, bioenergi memainkan peranan penting sebagai penyelesaian tenaga peralihan yang realistik, boleh diskalakan dan sedia digunakan ketika dunia beralih ke arah sistem tenaga yang lebih bersih.
- “Kilang ini bukan sahaja menyokong kestabilan tenaga, malah menukar sisa industri kelapa sawit kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Jepun,” katanya.
- Program berkenaan bertujuan membangunkan rangkaian kemudahan pemprosesan biojisim baharu di Kuantan, Pasir Gudang dan Lahad Datu.
KUANTAN – Pembukaan Kilang Bio Eneco Sdn. Bhd. di Gebeng di sini menandakan satu langkah strategik negara dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI dan komitmen kelestarian Malaysia.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Eldridge Energy Holdings Berhad, Yeo Hock Cheong berkata, bioenergi memainkan peranan penting sebagai penyelesaian tenaga peralihan yang realistik, boleh diskalakan dan sedia digunakan ketika dunia beralih ke arah sistem tenaga yang lebih bersih.
“Dalam konteks peralihan tenaga global, bioenergi menawarkan keseimbangan antara keperluan pengurangan karbon dan keselamatan bekalan.
“Kilang ini bukan sahaja menyokong kestabilan tenaga, malah menukar sisa industri kelapa sawit kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Jepun,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis perasmian kilang bioenergi berteknologi tinggi itu telah disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekali gus mencerminkan peranan penting sektor swasta dalam menyokong agenda tenaga hijau nasional dan pembangunan ekonomi mampan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar serta barisan kepimpinan industri termasuk Pengerusi Eldridge Energy Holdings Berhad, Tan Sri Dr. Azmil Khalili Khalid.
Dalam satu kenyataan berasingan, Eldridge Energy memaklumkan pembangunan Kilang Bio Eneco di Gebeng merupakan sebahagian daripada program perbelanjaan modal kumpulan bernilai RM68.14 juta seperti yang digariskan dalam prospektus syarikat.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan bertujuan membangunkan rangkaian kemudahan pemprosesan biojisim baharu di Kuantan, Pasir Gudang dan Lahad Datu.
“Pelaburan ini mencerminkan pelaksanaan strategik dan berdisiplin kumpulan dalam mengoptimumkan hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi meningkatkan keupayaan pemprosesan, memperkukuh kesiapsiagaan bekalan serta menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang,” menurut kenyataan tersebut.
Jelasnya, kemudahan di Gebeng merupakan tonggak utama strategi jangka panjang Eldridge Energy dalam membina platform biojisim berkualiti tinggi yang berorientasikan eksport.
“Kilang ini direka khusus untuk menghasilkan tempurung isirung sawit (Palm Kernel Shell – PKS) bertaraf eksport dan diperakui di bawah pensijilan antarabangsa Green Gold Label (GGL) yang menekankan piawaian ketat dari segi kelestarian, kebolehkesanan rantaian bekalan serta integriti data karbon.
“Pemilihan Gebeng Industrial Estate sebagai lokasi operasi disifatkan strategik berikutan kedudukannya yang berhampiran Pelabuhan Kuantan, membolehkan kecekapan logistik, eksport berskala besar dan kebolehpercayaan bekalan jangka panjang kepada pelanggan antarabangsa,” jelas kenyataan tersebut.
Selain itu, katanya menyokong agenda tenaga hijau negara, projek bioenergi tersebut dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur melalui penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan rantaian bekalan tempatan serta pengukuhan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global tenaga boleh diperbaharui.
Eldridge Energy turut menjangkakan pengembangan kapasiti tenaga hijau akan diteruskan secara berperingkat dan berdisiplin selari dengan keperluan pasaran jangka panjang serta keutamaan keselamatan tenaga nasional.
Ketika ini, Kilang Bio Eneco di Gebeng merupakan kemudahan ketiga milik kumpulan tersebut selepas operasi di Telok Gong, Pelabuhan Klang dan Kapar, Selangor, dengan kemudahan seterusnya dirancang untuk dibangunkan di Pasir Gudang, Johor. – The Merdeka Times