Terkini
Individu pijak al-Quran ditahan polis
- Polis menahan seorang seorang penuntut di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) awal pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina agama Islam menerusi media sosial.
- Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek ditahan selepas pihak polis menerima laporan berhubung penularan beberapa kandungan yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
KUANTAN – Polis menahan seorang seorang penuntut di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) awal pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina agama Islam menerusi media sosial.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek ditahan selepas pihak polis menerima laporan berhubung penularan beberapa kandungan yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Polis telah menahan seorang penuntut yang disyaki terlibat dalam perbuatan menghina Islam dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular di media sosial gambar memaparkan kaki seorang lelaki dewasa dipercayai memijak al-Quran selain tangkap layar hantaran yang didakwa dibuat oleh individu sama.
Turut tersebar gambar suspek bersama beberapa komen berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Menurut Yahaya, pihak polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di mahkamah hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghina agama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda jika sabit kesalahan.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan komunikasi yang bersifat jelik, menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – The Merdeka Times