Terkini
Empat MP Kerajaan gesa gantung ratifikasi ART susulan tarif Trump dibatalkan
- Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Wong Chen (Subang), Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) hari ini.
- Mereka menggesa Kerajaan Madani mendedahkan secara terbuka dan sepenuhnya langkah serta proses ratifikasi yang dirancang berhubung ART, selain menggantung serta-merta semua proses berkaitan memandangkan tarif yang menjadi asas kepada perjanjian tersebut telah diputuskan sebagai tidak sah secara ‘ab initio’.
- Mereka turut mendesak agar Pejabat Peguam Negara (AGC) segera mengeluarkan pendapat undang-undang rasmi mengenai kesahihan ART selepas keputusan mahkamah tersebut.
KUALA LUMPUR – Empat Ahli Parlimen kerajaan menggesa supaya proses ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat digantung serta-merta susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang memutuskan tarif dikenakan oleh Presiden Donald Trump sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan negara itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Wong Chen (Subang), Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) hari ini.
Menurut mereka, keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Jumaat lalu yang membatalkan tarif yang dikenakan di bawah pengisytiharan darurat ekonomi memberi implikasi langsung terhadap kesahan ART yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara.
Sehubungan itu, mereka menggesa Kerajaan Madani mendedahkan secara terbuka dan sepenuhnya langkah serta proses ratifikasi yang dirancang berhubung ART, selain menggantung serta-merta semua proses berkaitan memandangkan tarif yang menjadi asas kepada perjanjian tersebut telah diputuskan sebagai tidak sah secara ‘ab initio’.
Mereka turut mendesak agar Pejabat Peguam Negara (AGC) segera mengeluarkan pendapat undang-undang rasmi mengenai kesahihan ART selepas keputusan mahkamah tersebut, dan membentangkannya kepada semua Ahli Parlimen bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti.
Selain itu, keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan meminta kerajaan memaklumkan kepada Parlimen mengenai analisis kos-manfaat berhubung tarif global baharu sebanyak 15 peratus yang diumumkan oleh Presiden Trump, yang difahamkan hanya berkuat kuasa selama 150 hari dan berkemungkinan tertakluk kepada cabaran undang-undang selanjutnya.
Mereka juga menuntut penjelasan mengenai potensi pemulangan semula tarif bernilai berbilion dolar yang telah dibayar, termasuk jaminan bahawa pengeksport Malaysia yang menanggung sebahagian kos tarif tersebut akan menerima pemulangan sewajarnya sekiranya diputuskan demikian oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan sama, mereka turut menasihati Perdana Menteri supaya berhati-hati dalam sebarang lawatan atau pertemuan dengan Presiden Trump di Washington dalam masa terdekat, agar tidak membuat komitmen atau menandatangani sebarang terma perdagangan tambahan yang boleh menjejaskan kepentingan serta kedaulatan negara.
Pada masa sama, mereka mengulangi gesaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas ditubuhkan segera bagi menyiasat proses rundingan dan pemeteraian ART, termasuk aspek ketelusan, penilaian risiko dan implikasi jangka panjang terhadap ekonomi negara.-The Merdeka Times