Terkini
Azam Baki: ‘Kalau dia tak pergi, kita yang kena pergi’ – Ahli Parlimen
- Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki atau rakyat bakal ‘menghukum’ Kerajaan MADANI nanti.
- “Azam Baki perlu letak jawatan. He has to go. Either he has to go or we have to go. Kerana sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang pengundi akan hukum kita,” kata Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
- Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat laporan berkenaan demi membersihkan nama SPRM.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki atau rakyat bakal ‘menghukum’ Kerajaan MADANI nanti.
Memetik laporan MalaysiaKini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kegagalan kerajaan bertindak boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
Menurut beliau, isu pemilikan saham melibatkan Azam bukan perkara baharu dan telah dibangkitkan sebelum ini.
“Azam Baki perlu letak jawatan. He has to go. Either he has to go or we have to go. Kerana sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang pengundi akan hukum kita,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat laporan berkenaan demi membersihkan nama SPRM.
Minggu lalu, laporan Bloomberg mendakwa Azam memiliki pegangan saham yang besar dalam dua syarikat, dipercayai melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam.
Laporan itu menyebut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan beliau pada suatu ketika memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Bloomberg juga mendakwa Saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli Azam sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada suatu tempoh tertentu.
Mengikut Pekeliling Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam 2024, penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai lebih RM100,000 pada nilai semasa.
Bagaimanapun, Azam sebelum ini menegaskan pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar, sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim (PN-Pendang) turut menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berkenaan.
Terdahulu media melaporkan, lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Azam bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan tidak seharusnya menanggung risiko dihukum rakyat susulan dakwaan yang melibatkan seorang penjawat awam kanan. – The Merdeka Times