Connect with us

Terkini

Arun Dorasamy tiup sentimen kaum, agama, patut kena tindakan Akta Hasutan – Peguam Yayasan Kubra

Published

on

Foto: Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff.
  • Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, tindakan Arun Dorasamy bukan sahaja mengeruhkan keadaan malah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat awam dan sepatutnya dikenakan tindakan Akta Hasutan.
  • “Dia yang sepatutnya dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan kerana dia secara jelas telah menyebabkan isu ini berlarutan dengan lebih teruk dan menimbulkan kegusaran pada pihak awam,” katanya.
  • Muhammad Hariz berkata Yayasan Kubra menegaskan bahawa isu yang timbul sama sekali tidak melibatkan sebarang sentimen perkauman atau keagamaan, sebaliknya berkisar kepada pencerobohan tanah milik yayasan itu.

KUALA LUMPUR – Aktivis, Arun Dorasamy didakwa meniupkan sentimen kaum dan agama sehingga memburukkan lagi isu pencerobohan tanah melibatkan Yayasan Kubra yang berlarutan.

Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, tindakan individu berkenaan bukan sahaja mengeruhkan keadaan malah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat awam dan sepatutnya dikenakan tindakan Akta Hasutan.

“Kami dimaklumkan pihak kuil atau pihak binaan haram bersama dengan individu yang dikenali sebagai Arun Dorasamy meniupkan sentimen kaum, meniupkan sentimen agama.

“Dia yang sepatutnya dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan kerana dia secara jelas telah menyebabkan isu ini berlarutan dengan lebih teruk dan menimbulkan kegusaran pada pihak awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Gotong-Royong Rakyat bersama membersihkan Tanah Yayasan Kubra yang turut dihadiri lebih 14 badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam, di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu lagi laporan polis telah dibuat bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang didakwa membuat hasutan serta tuduhan palsu terhadap tuan tanah.

Menurut beliau, Yayasan Kubra telah memberi tempoh 14 hari bermula 11 Februari 2026 hingga 25 Februari 2026 untuk pengosongan tanah tersebut seperti yang dinyatakan dalam siaran media terdahulu.

Muhammad Hariz berkata Yayasan Kubra menegaskan bahawa isu yang timbul sama sekali tidak melibatkan sebarang sentimen perkauman atau keagamaan, sebaliknya berkisar kepada pencerobohan tanah milik yayasan itu.

“Yayasan Kubra di sini menekankan dan menegaskan bahawa Yayasan Kubra sama sekali tidak memainkan atau mengetengahkan sebarang isu berkaitan perkauman ataupun agama.

“Ia semata-mata berkaitan pencerobohan tanah yang telah lama berlaku. Ia bukan sehari, bukan 10 hari, bukan sebulan melebihi 5 tahun kesengsaraan selaku tuan tanah yang telah dibolak-balik,” jelasnya.

Beliau berkata, pencerobohan tersebut didakwa berlaku sejak 2018 dengan pembinaan struktur haram di atas tanah milik sah yayasan berkenaan.

“Saya percaya jika diikutkan kepada kronologi sebelum ini, sejak tahun 2018 sehingga hari ini, kira-kira lebih daripada 7 tahun pihak Yayasan Kubra selaku tuan tanah telah dianiaya dengan binaan struktur haram di atas tanah milikannya yang sah,” katanya.

Mengulas tindakan undang-undang, beliau menjelaskan bahawa pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.

“Aduan kepada pihak berkuasa telah dibuat, malah seluruh pihak berkuasa bukan sahaja pihak polis tetapi pada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan juga telah pihak Yayasan Kubra laksanakan.

Begitu juga rundingan dan juga ehsan yang telah diberikan Yayasan Kubra kepada pihak penceroboh,” ujarnya.

Berkenaan cadangan supaya perkara itu dibawa ke mahkamah, beliau menjelaskan bahawa undang-undang sedia ada tidak mewajibkan tuan tanah mendapatkan perintah mahkamah untuk mengambil tindakan terhadap penceroboh. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author