Terkini
Dunia terus diam saat Israel umum 1,200 penempatan haram baharu di Ramallah
- Media Israel melaporkan projek tersebut turut merangkumi pembinaan jalan pintasan baharu, yang dijangka menyokong peluasan penempatan, khususnya berhampiran bandar Silat ad-Dhahr, di utara Nablus.
- Pemerhati Palestin dan antarabangsa memberi amaran bahawa peluasan penempatan yang berterusan dilakukan dalam suasana hampir tiada bantahan atau tekanan antarabangsa mengancam kestabilan serantau serta mengukuhkan lagi penguasaan Israel ke atas tanah Palestin yang diduduki, sekali gus menjejaskan prospek keamanan dan penyelesaian dua negara.
TEBING BARAT — Israel mengumumkan rancangan pembinaan 1,200 unit penempatan haram baharu di penempatan Beit El, terletak di utara Ramallah, sekali gus memperhebat peluasan penempatan Israel di Tebing Barat yang dijajah.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, semasa lawatan beliau ke Beit El bagi merasmikan projek berkenaan.
Katz menegaskan bahawa pembinaan penempatan akan diteruskan pada kadar yang lebih pantas.
Beliau turut mengesahkan pelaksanaan projek penempatan tambahan di bawah apa yang digelar projek “Nahal”, yang menurutnya sebahagian daripada usaha lebih besar untuk membina semula penempatan serta kem tentera Israel di seluruh kawasan Tebing Barat utara.
Media Israel melaporkan projek tersebut turut merangkumi pembinaan jalan pintasan baharu, yang dijangka menyokong peluasan penempatan, khususnya berhampiran bandar Silat ad-Dhahr, di utara Nablus.
Dalam perkembangan berkaitan, di Tebing Barat utara, tentera penjajah Israel menghantar jentolak tentera bersama konvoi ketenteraan ke bekas penempatan Sanur, selatan Jenin.
Pasukan tersebut memulakan kerja meratakan tanah sebagai persediaan untuk menghidupkan semula penempatan itu.
Sanur sebelum ini dikosongkan oleh Israel pada tahun 2005 di bawah pelan pengunduran. Namun, tindakan terkini ini dilihat sebagai petunjuk jelas niat Israel untuk membina semula penempatan tersebut.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada rancangan lebih luas Israel untuk menghalalkan dan membina 19 pos penempatan baharu di Tebing Barat yang dijajah, termasuk empat penempatan di Gabenorat Jenin.
Pemerhati Palestin dan antarabangsa memberi amaran bahawa peluasan penempatan yang berterusan dilakukan dalam suasana hampir tiada bantahan atau tekanan antarabangsa mengancam kestabilan serantau serta mengukuhkan lagi penguasaan Israel ke atas tanah Palestin yang diduduki, sekali gus menjejaskan prospek keamanan dan penyelesaian dua negara.-The Merdeka Times