Terkini
(VIDEO) Banjir, ribut landa ‘sekali dalam tempoh 300 tahun’ lumpuhkan Hat Yai
- Sekurang-kurangnya 19 orang di seluruh selatan Thailand meninggal dunia, kebanyakannya akibat renjatan elektrik dan kemalangan berkaitan banjir, menurut kementerian kesihatan awam.
- Hujan paling lebat berlaku di bandar Hat Yai, pusat utama pengangkutan dan perdagangan di wilayah Songkhla, yang mencatatkan “hujan paling lebat dalam 300 tahun,” menurut Jabatan Pengairan Diraja negara itu.
- Angka tersebut merujuk kepada betapa jarangnya ribut sebegini berlaku, dengan kebarangkalian hanya sekali dalam 300 tahun.
BANGKOK – Ribut “sekali dalam tempoh 300 tahun” melanda selatan Thailand, membawa banjir setinggi lebih lapan kaki melumpuhkan bandar Hat Yai dan memutuskan akses ke wad bersalin yang menempatkan 30 bayi baru lahir, menurut kakitangan dan pegawai.
Sekurang-kurangnya 19 orang di seluruh selatan Thailand meninggal dunia, kebanyakannya akibat renjatan elektrik dan kemalangan berkaitan banjir, menurut kementerian kesihatan awam.
Hujan paling lebat berlaku di bandar Hat Yai, pusat utama pengangkutan dan perdagangan di wilayah Songkhla, yang mencatatkan “hujan paling lebat dalam 300 tahun,” menurut Jabatan Pengairan Diraja negara itu.
Angka tersebut merujuk kepada betapa jarangnya ribut sebegini berlaku, dengan kebarangkalian hanya sekali dalam 300 tahun, kata pegawai itu kepada CNN.
Setakat Isnin, sembilan wilayah di selatan Thailand masih dilanda banjir, menjejaskan lebih 127,000 isi rumah, menurut pihak berkuasa tempatan.
Beberapa kawasan mencatat hampir 400 milimeter (15.7 inci) jumlah hujan, diburukkan lagi oleh limpahan sungai dan banjir kilat.
Di Hat Yai, paras air banjir mencecah sehingga 2.5 meter (8.2 kaki), melanda bandar dan menenggelamkan rumah.
Seluruh jalan dinaiki air, rumah separa tenggelam dan pasukan kecemasan menaiki bot menyelamatkan penduduk serta menghantar bekalan.
Para pekerja di Hospital Hat Yai menggambarkan suasana cemas pada Selasa, dengan bekalan air dan elektrik sebahagiannya terputus sejak malam Isnin.
Terdapat kira-kira 30 bayi baru lahir di wad bayi yang ibu bapa mereka tidak berada di hospital.
“Pihak hospital mesti menjaga mereka,” kata jururawat Fasiya Fatonni, sambil menambah bahawa ibu bapa bayi itu “risau tetapi mereka tidak boleh datang, air semakin naik dan semua pengangkutan terputus.”
Tambanya, kira-kira 500 orang terperangkap di dalam hospital setakat Selasa, termasuk 200 pesakit. – The Merdeka Times