Connect with us

Terkini

Tiada kawal selia punca label “Muslim Choice” berleluasa tanpa kelulusan – Pakar UUM

Published

on

Foto: Pakar Logistik Halal dan Perniagaan Antarabangsa UUM, Prof. Dr. Salwani Arbak (Gambar kecil).
  • Pakar Logistik Halal dan Perniagaan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Prof. Madya Dr. Salwani Arbak berkata, eksploitasi kepercayaan pengguna Muslim oleh peniaga yang menggunakan istilah ‘Muslim’ atau ‘Islamic’ sebagai strategi pemasaran tanpa komitmen sebenar terhadap piawaian halal perlu dipandang serius.
  • “Tiada kawal selia terhadap penggunaan istilah seperti ‘Muslim Choice’ oleh agensi penguatkuasa. Sebab itu label ini digunakan secara bebas tanpa semakan atau kelulusan pihak berkuasa halal,” tegasnya.

 

KUALA LUMPUR — Ketiadaan kawal selia oleh agensi penguatkuasa terhadap penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” menjadi punca utama label tersebut digunakan secara meluas tanpa semakan atau kelulusan pihak berkuasa halal, kata Pakar Logistik Halal dan Perniagaan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Salwani  Arbak.

Menurut beliau, keadaan ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Islam kerana tiada peraturan jelas mengawal penggunaan istilah yang berunsur keagamaan, sekali gus membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi kepercayaan umat Islam.

“Tiada kawal selia terhadap penggunaan istilah seperti ‘Muslim Choice’ oleh agensi penguatkuasa. Sebab itu label ini digunakan secara bebas tanpa semakan atau kelulusan pihak berkuasa halal,” tegasnya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak media perlu memainkan peranan aktif dalam menyebarkan maklumat berkaitan isu ini bagi mendesak tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang menggunakan label berunsur Islam tanpa pengiktirafan halal rasmi.

Tambahnya, pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi melindungi integriti pasaran halal Malaysia serta mengelak pengguna daripada tertipu dengan strategi pemasaran yang mengelirukan.

Prof. Dr. Salwani berkata, eksploitasi kepercayaan pengguna Muslim oleh peniaga yang menggunakan istilah ‘Muslim’ atau ‘Islamic’ sebagai strategi pemasaran tanpa komitmen sebenar terhadap piawaian halal perlu dipandang serius.

Istilah seperti “Muslim Choice” atau “No Pork” jelas beliau, tidak mematuhi prosedur halal sebenar kerana tidak melalui proses audit dan piawaian ketat yang ditetapkan oleh JAKIM.

“Dalam Islam, antara halal dan haram sangat jelas. Apa yang syubhah mesti dijauhi. Muslim Choice tidak diiktiraf JAKIM, maka jelas ia tergolong dalam kategori syubhah,” ujarnya lagi. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author