Terkini
11 Lori bantuan bernilai RM2.8 juta berjaya tiba di Gaza
- Menurut Pengarah Kempen The Rightful Gift, Muhd Farhan Muhd Fadhil, kejayaan itu hadir meskipun laluan bantuan melalui Mesir, yang memegang kuasa penuh di pintu Rafah, sering berubah-ubah dari semasa ke semasa.
- “Perubahan itu perkara biasa. Kadang-kadang UN uruskan bantuan, tiba-tiba Mesir pula ambil alih. Tapi Alhamdulillah, dengan pengalaman lebih 10 tahun membantu Palestin, kita tahu cara paling berkesan untuk menghantar bantuan,” katanya.
- Secara keseluruhan, hanya dalam tempoh dua bulan (Oktober & November), nilai bantuan yang berjaya disalurkan mencecah RM4.4 juta, memberi manfaat kepada hampir 80,000 penerima.
KUALA LUMPUR – Di sebalik ketidaktentuan sempadan dan birokrasi yang sentiasa berubah, kempen The Rightful Gift mencatat satu pencapaian luar biasa apabila 11 lori kargo membawa 5,400 kotak makanan Asas dan 100 tan gandum berjaya menembusi pintu sempadan Rafah-Gaza.
Bantuan bernilai RM2.8 juta itu selamat tiba di tangan mereka yang memerlukan, hasil koordinasi rapi pasukan dan wakil The Rightful Gift di Mesir dan Gaza.
Menurut Pengarah Kempen The Rightful Gift, Muhd Farhan Muhd Fadhil, kejayaan itu hadir meskipun laluan bantuan melalui Mesir, yang memegang kuasa penuh di pintu Rafah, sering berubah-ubah dari semasa ke semasa.
“Perubahan itu perkara biasa. Kadang-kadang UN uruskan bantuan, tiba-tiba Mesir pula ambil alih. Tapi Alhamdulillah, dengan pengalaman lebih 10 tahun membantu Palestin, kita tahu cara paling berkesan untuk menghantar bantuan,” katanya.
Bulan sebelumnya, kempen yang sama turut mengagihkan bantuan bernilai RM1.6 juta merangkumi masakan panas, roti, kotak makanan, perubatan, susu, diaper, kayu api, pakaian, selimut dan khemah yang semuanya diuruskan wakil yang beroperasi secara terus di Gaza.
Secara keseluruhan, hanya dalam tempoh dua bulan (Oktober & November), nilai bantuan yang berjaya disalurkan mencecah RM4.4 juta, memberi manfaat kepada hampir 80,000 penerima.
Namun bagi Muhd Farhan, kejayaan besar ini tidak menafikan hakikat bahawa cabaran sebenar masih menanti, terutama dalam fasa pasca perang, yang sering disalah anggap sebagai tempoh yang sudah selamat dan stabil.
“Ramai fikir bila perang berhenti, tak perlulah lagi bantuan. Tapi sebenarnya, fasa pasca perang inilah paling kritikal. Inilah masa keemasan, masa kita perlu masukkan bantuan sebanyak mungkin supaya mereka dapat terus bertahan,” jelasnya.
Menurut beliau, pengurusan penghantaran kekal menjadi cabaran utama. Walaupun sesuatu perancangan ditetapkan dua minggu, ia boleh berubah menjadi tiga minggu atau lebih bergantung pada keadaan di sempadan.
Namun katanya, sistem bantuan tetap diteruskan melalui strategi penyimpanan dan agihan yang teratur.
“Ada pasukan di gudang yang akan ‘check’ semua bantuan. Yang sampai dulu, itu yang dihantar dulu. Kita uruskan supaya bantuan tahan lama,” tambahnya.
Meski prosedur sentiasa berubah, Muhd Farhan optimis, semuanya masih berada dalam kawalan.
“Nak kata tiada cabaran langsung, mustahil. Tapi semuanya masih boleh diuruskan. Ada cara dan usaha yang kita gunakan.”
Dengan semangat kebersamaan serta jaringan pasukan yang berpengalaman, penghantaran bantuan melalui The Rightful Gift bukan sahaja membuktikan keupayaan menembusi laluan paling kompleks di dunia, tetapi turut menjadi penyelamat kepada ribuan keluarga Palestin yang masih bertahan dalam ketidakpastian fasa pasca perang. – The Merdeka Times
Selain bantuan makanan asas dan gandum, beliau turut menjelaskan bahawa pada bulan lalu sejumlah RM1.6 juta telah disalurkan dalam bentuk masakan panas, roti, kotak makanan, perubatan, susu, diaper, kayu api, pakaian, selimut serta khemah.
“Nilai bantuan keseluruhan untuk dua bulan sahaja (Oktober & November) adalah sebanyak RM4.4 juta untuk manfaat hampir 80,000 orang,” jelasnya. – The Merdeka Times