Connect with us

Ekonomi

(VIDEO) Pelaburan tanpa niat jelas dan prinsip syariah ibarat perjudian moden

Published

on

Foto: Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid

 

  • “Kalau seseorang masuk dengan niat spekulasi, contohnya membeli mata wang USD dengan harapan nilainya naik keesokan hari, itu salah. Sebagai Muslim, kita tidak boleh melakukan perkara sebegitu. Namun jika membeli mata wang USD dengan tujuan untuk digunakan ketika melancong ke negara tersebut, itu dibolehkan,”- Profesor Dr Baharom Abdul Hamid,Penganalisis Ekonomi INCEIF
  • Beliau turut menegaskan pendekatan untuk menghalalkan sesuatu instrumen kewangan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira asas dan prinsip muamalat Islam.

KUALA LUMPUR – Aktiviti kewangan moden seperti Forex dan mata wang kripto perlu diteliti secara serius dari sudut syariah kerana melibatkan unsur ketidakpastian (gharar), spekulasi melampau serta perjudian yang boleh membawa risiko besar kepada umat Islam sekiranya tidak difahami dengan betul.

Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid, menegaskan bahawa pendekatan untuk menghalalkan sesuatu instrumen kewangan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira asas dan prinsip muamalat Islam.

“Mekanisme syariah tidak boleh digunakan untuk menghalalkan sesuatu yang dilarang. Apabila tidak dihalalkan, maka penggunaannya juga tidak harus dibenarkan,” katanya dalam program Analisis bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times.

Mengulas mengenai pasaran pertukaran mata wang asing (Forex) yang sering menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat Islam, beliau menegaskan bahawa tidak semua bentuk urus niaga Forex itu haram, namun niat serta kaedah penyertaan amat penting dalam menentukan hukum.

“Kalau seseorang masuk dengan niat spekulasi, contohnya membeli mata wang USD dengan harapan nilainya naik keesokan hari, itu salah.
Sebagai Muslim, kita tidak boleh melakukan perkara sebegitu. Namun jika membeli mata wang USD dengan tujuan untuk digunakan ketika melancong ke negara tersebut, itu dibolehkan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa pasaran Forex diperlukan untuk urusan perdagangan dan lawatan, tetapi melabur semata-mata untuk keuntungan atas jangkaan turun naik nilai mata wang adalah satu bentuk spekulasi yang dilarang.

Dr Baharom turut menjelaskan bahawa prinsip sama terpakai dalam pasaran saham dan mata wang kripto seperti Bitcoin.

“Sama juga dalam pasaran saham. Jika saya membeli saham kerana mahu menjadi pemiliknya dan yakin syarikat itu berpotensi maju, ia harus.
Namun jika saya membeli hanya kerana ramalan harga akan naik  itu spekulasi, dan ia tergolong sebagai perjudian,” tegasnya.

Menyentuh mengenai pelaburan Bitcoin, beliau memberi amaran tegas terhadap mereka yang menyertai pasaran itu semata-mata untuk mengejar keuntungan cepat.

“Untuk apa kita melabur dalam Bitcoin? Adakah dengan harapan hari ini beli RM20,000 dan esok naik jadi RM25,000?
Jika itu niatnya, maka ia adalah bentuk spekulasi yang bersifat perjudian,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author