Antarabangsa
(VIDEO) Netanyahu tuduh Iran bangun senjata nuklear untuk serang AS
- “Iran kini berupaya memeras mana-mana bandar di Amerika. Mereka sedang membangunkan peluru berpandu antara benua dengan jarak 8,000 kilometer tambah 3,000 lagi, dan mereka boleh sampai ke pantai timur Amerika Syarikat,” katanya.
- Beliau menegaskan bahawa senjata tersebut boleh digunakan untuk memeras ugut kuasa besar dunia, khususnya apabila rejim Iran tidak rasional dan sering melaungkan slogan “mati Amerika”.
TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa bahawa Iran sedang membangunkan peluru berpandu balistik antara benua yang mampu melancarkan serangan nuklear ke atas bandar-bandar utama Amerika Syarikat termasuk New York, Boston, Washington dan Miami.
Dalam wawancara bersama pengulas politik konservatif Ben Shapiro pada Isnin, Netanyahu memberi amaran bahawa kemajuan teknologi ketenteraan Iran kini mencapai tahap yang membimbangkan dan boleh menjadi ancaman langsung kepada keselamatan global.
“Iran kini berupaya memeras mana-mana bandar di Amerika. Mereka sedang membangunkan peluru berpandu antara benua dengan jarak 8,000 kilometer tambah 3,000 lagi, dan mereka boleh sampai ke pantai timur Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa senjata tersebut boleh digunakan untuk memeras ugut kuasa besar dunia, khususnya apabila rejim Iran “tidak rasional” dan sering melaungkan slogan “mati Amerika”.
“Ini ancaman besar. Kita tidak mahu berada di bawah senjata nuklear mereka,” ujar Netanyahu, sambil menambah bahawa Israel memainkan peranan penting dalam menghalang Iran daripada mencapai keupayaan nuklear penuh.
Dalam temu bual sama, Netanyahu turut menyentuh tentang perjanjian pertahanan antara Israel dan Amerika Syarikat, yang menurutnya menjadi tulang belakang keselamatan rantau itu.
Beliau memuji keberkesanan sistem pertahanan seperti Iron Dome, Arrow System dan Trophy System yang digunakan untuk melindungi kereta kebal Israel.
Katanya, selain pertahanan, Israel dan AS turut membangunkan senjata serangan berteknologi tinggi yang tidak dimiliki mana-mana kuasa besar lain.
“Senjata paling canggih di dunia kini dibangunkan oleh Israel dan dikongsi bersama Amerika,” katanya.
Netanyahu turut menegaskan bahawa risikan Israel turut memainkan peranan penting dalam membantu Amerika dan negara lain mencegah serangan pengganas.
“Kami berjaya menghalang pesawat daripada dirampas oleh ISIS dan menggagalkan pelbagai serangan di seluruh dunia,” ujarnya.
Dalam bahagian akhir wawancara itu, Netanyahu menyentuh mengenai perang di Gaza, dengan menyatakan bahawa Israel kini semakin hampir menamatkan operasi ketenteraan, namun menegaskan perang tidak akan berakhir selagi Hamas masih berkuasa.
“Saya fikir kita hampir ke penghujung perang, tetapi belum sepenuhnya. Dua tahun lalu, dunia menyaksikan kekejaman paling dahsyat terhadap orang Yahudi sejak Holocaust. Ramai sangka Israel akan tumbang, tetapi hari ini kita telah menghancurkan pakatan Iran dan kebanyakan proksi mereka,” katanya.
Netanyahu menegaskan bahawa misi Israel akan hanya dianggap selesai selepas pembebasan baki 46 tebusan di Gaza termasuk 20 yang masih hidup serta pengakhiran pemerintahan Hamas di wilayah itu.
“Apa yang bermula di Gaza akan berakhir di Gaza dengan pembebasan semua tebusan dan berakhirnya pemerintahan Hamas,” tegasnya.– The Merdeka Times