Connect with us

Antarabangsa

Skandal seks & penderaan: Pendakwa mahu Diddy Combs dipenjara 11 Tahun

Published

on

Foto: Penyanyi rap terkenal, Sean “Diddy” Combs.

 

  • Dalam dokumen hujahan hukuman, pendakwa raya menegaskan bahawa hukuman berat perlu dikenakan kerana Combs tidak menunjukkan penyesalan.
  • “Kesalahan beliau serius, melibatkan keganasan dan ugutan. Hukuman berat diperlukan bukan sahaja sebagai pengajaran, tetapi juga untuk melindungi mangsa,” kata pendakwa.
  • Mereka turut mencadangkan denda sebanyak USD500,000.

 

NEW YORK – Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat mendesak  hakim menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun tiga bulan ke atas penyanyi rap terkenal, Sean “Diddy” Combs, selepas beliau disabitkan kesalahan berhubung dua pertuduhan membawa individu untuk tujuan pelacuran.

Cadangan hukuman itu difailkan awal pagi Selasa, hanya beberapa hari sebelum tarikh hukuman rasmi yang dijadualkan Jumaat ini.

Pada Julai lalu, juri persekutuan mendapati Combs bersalah atas dua pertuduhan berkenaan, yang masing-masing membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara. Namun beliau dibebaskan daripada tuduhan lebih berat iaitu pemerdagangan seks dan konspirasi jenayah terancang.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa berhujah bahawa Combs menggunakan kuasa, pengaruh dan kekayaan untuk memaksa dua bekas teman wanitanya menyertai apa yang digelar sebagai “freak-offs” atau “malam hotel”, pesta seks dengan pengiring lelaki yang sarat dengan dadah dan alkohol.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan insiden Combs menyerang bekas kekasihnya, penyanyi Casandra “Cassie” Ventura, di sebuah hotel pada 2016.

Dalam dokumen hujahan hukuman, pendakwa raya menegaskan bahawa hukuman berat perlu dikenakan kerana Combs tidak menunjukkan penyesalan.

“Kesalahan beliau serius, melibatkan keganasan dan ugutan. Hukuman berat diperlukan bukan sahaja sebagai pengajaran, tetapi juga untuk melindungi mangsa,” kata pendakwa.

Mereka turut mencadangkan denda sebanyak USD500,000.

Cassie, saksi utama pendakwaan, dalam sepucuk surat kepada mahkamah menyatakan bahawa hubungan mereka yang berlangsung selama satu dekad penuh dengan penderaan fizikal dan emosi. Beliau mendakwa masih mengalami trauma, mimpi ngeri serta memerlukan rawatan psikologi secara berterusan.

“Saya bimbang jika dia dibebaskan, saya dan keluarga akan menjadi sasaran balas dendam,” tulisnya.

Peguam bela Combs pula berhujah agar hukuman tidak melebihi 14 bulan, dengan mengambil kira 13 bulan yang sudah beliau lalui dalam tahanan sejak ditangkap pada September 2024.

Mereka mendakwa tempoh itu sudah “mengubah hidup” Combs yang kini bebas daripada penyalahgunaan dadah. Lebih 60 surat sokongan, termasuk daripada ahli keluarga, turut dikemukakan bagi merayu hukuman lebih ringan.

Jabatan Pengawasan Pesalah AS mencadangkan hukuman antara lima hingga tujuh tahun, namun pendakwa raya bertegas bahawa keseriusan kes ini memerlukan tempoh penjara lebih panjang.

“Combs bukanlah mangsa. Mahkamah perlu menumpukan kepada kesan sebenar yang ditanggung mangsa-mangsa beliau,” tegas pendakwa dalam kenyataan rasmi.

Hakim Arun Subramanian dijangka membuat keputusan hukuman pada Jumaat, dengan perhatian dunia menumpu kepada kes berprofil tinggi yang membabitkan ikon muzik hip hop itu. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author