Antarabangsa
Singapura antara 19 negara bekal komponen jet F-35 kepada Israel
- Laporan bertajuk “Gaza Genocide: A Collective Crime” itu disediakan oleh Francesca Albanese, Pelapor Khas PBB mengenai keadaan hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki.
- Menurut laporan berkenaan, program pesawat F-35 dianggap “tulang belakang serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza”.
- Singapura disenaraikan bersama 18 negara lain termasuk Jerman, Itali, Kanada, Australia, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat yang didakwa menyumbang kepada pengeluaran atau pembekalan bahagian tertentu pesawat berkenaan.
Singapura antara 19 negara yang dinamakan dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana didakwa terlibat secara tidak langsung dalam membekalkan komponen pesawat pejuang F-35 yang digunakan Israel dalam serangan ke atas Gaza.
Laporan bertajuk “Gaza Genocide: A Collective Crime” itu disediakan oleh Francesca Albanese, Pelapor Khas PBB mengenai keadaan hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki.
Dokumen tersebut mendakwa lebih 60 negara termasuk Singapura bersubahat dalam “jenayah kolektif” dengan terus memberi perlindungan diplomatik, sokongan ekonomi serta bekalan ketenteraan kepada Israel.
Menurut laporan berkenaan, program pesawat F-35 dianggap “tulang belakang serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza”.
Singapura disenaraikan bersama 18 negara lain termasuk Jerman, Itali, Kanada, Australia, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat yang didakwa menyumbang kepada pengeluaran atau pembekalan bahagian tertentu pesawat berkenaan.
Walaupun 17 daripada negara itu telah meratifikasi Arms Trade Treaty (ATT), perjanjian yang melarang penjualan senjata yang berpotensi digunakan dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa, laporan itu menegaskan bahawa penghantaran komponen F-35 masih diteruskan dan digunakan secara meluas dalam pemusnahan genosid di Gaza.
Albanese turut menolak alasan sesetengah kerajaan bahawa eksport mereka bersifat “pertahanan” atau “tidak mematikan”.
Menurutnya, ATT tidak mengiktiraf pengecualian tersebut dan menegaskan bahawa sebarang bantuan ketenteraan kepada Israel dalam konteks penjajahan dianggap sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang antarabangsa.
Menjawab persoalan mengenai hubungan pertahanan dengan Israel, Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, pada Oktober 2024 menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mendedahkan maklumat mengenai urus niaga pertahanan atas sebab keselamatan negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di Parlimen yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukan Kawasan, Leong Mun Wai.
Balakrishnan turut menyatakan bahawa sebarang keputusan untuk mengenakan sekatan atau menghentikan jualan senjata mesti diteliti secara berhati-hati dan berpaksikan kepentingan nasional Singapura.
Beliau menambah bahawa keberkesanan sekatan unilateral terhadap entiti Israel “masih belum terbukti”.
Israel memainkan peranan penting dalam pembangunan awal angkatan pertahanan Singapura selepas hubungan diplomatik ditubuhkan pada 1969. Kedua-dua negara terus mengekalkan kerjasama dalam bidang perdagangan, teknologi dan keselamatan sehingga kini.
Namun, beberapa kumpulan masyarakat sivil di Singapura menggesa kerajaan menamatkan semua bentuk kerjasama ketenteraan, ekonomi dan akademik dengan Israel, serta melaksanakan embargo senjata segera sebagai solidariti terhadap Palestin.-The Merdeka Times