Antarabangsa
Pelan Damai Trump hanyalah ugutan, Bukan penyelesaian – Tun M
- Mahathir menegaskan, mengharapkan Hamas menerima pelan tersebut sebagai jalan keluar adalah sesuatu yang “tidak masuk akal”, memandangkan lebih 60,000 rakyat Palestin telah terkorban akibat pengeboman Israel.
- “Trump bukan pendamai. Dia menggunakan ugutan tarif tinggi, sekatan, dan pelbagai tuntutan untuk memaksa pihak bertelagah, tetapi semuanya gagal. Perang di Ukraine dan Rusia masih berterusan, pembunuhan masih berlaku. Genosid oleh Israel tetap diteruskan,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menegaskan bahawa pelan 20 perkara yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menghentikan genosid Israel terhadap Palestin bukanlah satu tawaran damai kepada Hamas, sebaliknya hanya berbentuk ugutan.
Menurut beliau, syarat yang ditetapkan Trump agar cadangan itu diterima dalam tempoh empat hari atau serangan akan berterusan dengan lebih dahsyat jelas menunjukkan rancangan itu bukan penyelesaian sebenar, sebaliknya memaksa Palestin menyerah kalah.
“Pelan ini disusun bersama Benjamin Netanyahu dan semestinya menguntungkan Israel. Seperti Netanyahu, Trump juga mahu menguasai Gaza. Itu bermakna Palestin mesti tunduk,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dr. Mahathir menegaskan, mengharapkan Hamas menerima pelan tersebut sebagai jalan keluar adalah sesuatu yang “tidak masuk akal”, memandangkan lebih 60,000 rakyat Palestin telah terkorban akibat pengeboman Israel.
Katanya, menerima pelan itu hanya akan menjadikan pengorbanan nyawa dan kehancuran Gaza sia-sia.
“Trump bukan pendamai. Dia menggunakan ugutan tarif tinggi, sekatan, dan pelbagai tuntutan untuk memaksa pihak bertelagah, tetapi semuanya gagal. Perang di Ukraine dan Rusia masih berterusan, pembunuhan masih berlaku. Genosid oleh Israel tetap diteruskan,” tegas beliau.
Dr. Mahathir turut menyatakan bahawa beliau tidak terkejut sekiranya Hamas menolak cadangan itu kerana pada akhirnya, genosid akan diteruskan dengan lebih kuat, malah mendapat sokongan padu daripada Amerika Syarikat.- The Merdeka Times