Antarabangsa
Pelan Damai tidak akan adil selagi kuasa luar rakus kekayaan Gaza
- Menurut Prof. Jab. Hub. Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang UPNM, Prof. Dr. Mizan Mohammad Aslam perkara paling asas yang perlu diselesaikan dalam merangka pelan damai ialah menghentikan campur tangan luar yang sering didorong oleh kepentingan ekonomi dan geopolitik, bukannya keikhlasan untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.
- “Mereka masih lagi berkeinginan untuk menguasai kepentingan, kekayaan yang dimiliki oleh Gaza. Jadi itu yang perlu diselesaikan dahulu, perkara paling asas terutama dalam merangka pelan damai,” katanya kepada The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR – Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mizan Mohammad Aslam menegaskan bahawa sebarang pelan damai untuk Gaza akan gagal mencapai keadilan jika kuasa-kuasa luar masih bernafsu menguasai kekayaan serta kepentingan strategik wilayah itu.
Menurut beliau, perkara paling asas yang perlu diselesaikan dalam merangka pelan damai ialah menghentikan campur tangan luar yang sering didorong oleh kepentingan ekonomi dan geopolitik, bukannya keikhlasan untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.
“Mereka masih lagi berkeinginan untuk menguasai kepentingan, kekayaan yang dimiliki oleh Gaza. Jadi itu yang perlu diselesaikan dahulu, perkara paling asas terutama dalam merangka pelan damai,” katanya kepada The Merdeka Times.
Prof. Mizan berkata, Malaysia boleh menyokong sebarang inisiatif damai tetapi harus menegaskan bahawa Palestin perlu diberi ruang mentadbir serta berunding sendiri dengan Israel, bukan dipaksa menerima pelan yang digubal sepihak oleh kuasa asing.
“Maknanya, kita bersetuju dibuat perjanjian damai, tetapi tak boleh semua ditentukan oleh mereka. Palestin mesti diberi ruang untuk berdemokrasi dan bernegosiasi. Tidak boleh jadi seolah-olah Amerika Syarikat buat siap-siap dan Hamas kena ikut,” jelasnya.
Beliau turut menyuarakan keraguan terhadap peranan individu luar yang diberikan mandat dalam pelan damai itu, termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Tony Blair mempunyai rekod buruk terhadap umat Islam, khususnya dalam penglibatan Perang Iraq. Mustahil untuk mengharapkan beliau berlaku adil terhadap Palestin.
“Manakala Trump pula jelas pro-Yahudi dan tidak mungkin akan bersikap saksama kepada penduduk Gaza,” katanya.
Prof. Mizan menegaskan bahawa adalah tidak wajar negara luar dilantik untuk ‘mengurus’ Palestin, sedangkan Palestin adalah wilayah berdaulat yang berhak menentukan masa depan mereka sendiri.
“Konklusinya, yang pertama, figura yang bertanggungjawab itu sendiri tidak boleh dipercayai. Kedua, kenapa perlu ada campur tangan luar untuk sebuah negara yang berdaulat. Dan yang ketiga, mereka masih berkeinginan menguasai kekayaan Gaza. Itu perkara asas yang mesti diselesaikan sebelum merangka pelan damai sebenar,” tegas beliau.— The Merdeka Times