Connect with us

Terkini

Lima kanak-kanak mangsa jangkitan HIV, pihak berkuasa jejaki 256 penderma darah

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Pegawai Kesihatan India berkata, jangkitan itu mungkin berpunca daripada darah yang didermakan dalam tempoh “tempoh tetingkap (window period)”, iaitu fasa awal selepas penderma dijangkiti HIV tetapi sebelum virus itu dapat dikesan melalui ujian biasa.
  • Seorang pegawai berkata daerah Jharkhand, India juga telah mula mengenal pasti unit darah dibuang kerana HIV, iaitu darah yang didapati positif dan tidak digunakan untuk pemindahan.
  • “Pada bulan Oktober sahaja, empat unit darah positif HIV telah dikenal pasti dan lebih banyak lagi sedang disemak bagi bulan-bulan sebelumnya,” katanya.

 

JHARKHAND – Apabila lima orang kanak-kanak yang menjalani pemindahan darah selepas mendapat rawatan bagi talasemia didapati positif HIV di daerah West Singhbhum, Jharkhand, India awal bulan ini, Bank Darah Daerah di Hospital Sadar Chaibasa mula menjejaki 256 penderma darah yang sumbangannya telah digunakan dalam tempoh tiga tahun lepas.

Pegawai kesihatan negara itu berkata, jangkitan berkenaan mungkin berpunca daripada darah yang didermakan dalam tempoh “tempoh tetingkap (window period)”, iaitu fasa awal selepas penderma dijangkiti HIV tetapi sebelum virus itu dapat dikesan melalui ujian biasa.

Menurut pegawai di bank darah daerah itu, pengumpulan darah dilakukan setiap hari daripada penderma sukarela, penderma pengganti, dan penderma berulang, dengan kira-kira 45–50 unit dikumpul setiap hari.

Kempen derma darah juga diadakan secara berkala oleh kolej, NGO, dan kawasan perindustrian di seluruh daerah.

Ibu bapa kepada kanak-kanak pertama daripada lima orang yang disahkan positif HIV pada 18 Oktober berkata mereka tidak pernah membawa anak mereka ke hospital lain sejak dia disahkan menghidap talasemia.

“Kami sudah pun menghadapi kesusahan akibat kemiskinan dan hanya mampu bergantung pada hospital kerajaan. Kami hanya mempunyai seorang anak, dan kami membawanya ke sana untuk rawatan, tetapi nampaknya mereka seperti mahu menamatkan hidupnya,” kata ibu kanak-kanak itu.

Bapa kepada seorang lagi kanak-kanak berkata, “Kami tiada sejarah rawatan di hospital lain yang memerlukan suntikan. Ini jelas kecuaian dalam rawatan terhadap golongan miskin.”

Setiap unit darah yang didermakan akan diuji untuk HIV.

Namun, seorang pegawai kesihatan di Chaibasa menjelaskan, “Terdapat tempoh tetingkap sekitar 10 hari apabila antibodi masih belum terbentuk pada individu yang baru dijangkiti. Jika penderma memberikan darah dalam tempoh ini, jangkitan mungkin tidak dapat dikesan dan boleh dipindahkan semasa pemindahan darah.”

Hospital Sadar merupakan satu-satunya bank darah di daerah itu dan telah beroperasi sejak tahun 2019.

Sebelum ini, pesakit talasemia yang perlu menjalani pemindahan darah secara berkala bergantung kepada Kolej Perubatan MGM di daerah Jamshedpur.

Kini, terdapat 56 pesakit talasemia berdaftar di Hospital Sadar, selain kira-kira 14 pesakit lain yang menghidap anemia sel sabit dan anemia hemolitik.

“Pesakit ini memerlukan pemindahan darah dengan kerap, kadangkala dua hingga tiga kali sebulan. Ada yang telah menerima lebih 60 kali pemindahan dalam tempoh dua tahun lalu,” kata seorang pegawai.

Kelima-lima kanak-kanak yang positif HIV kini berada di bawah pemantauan perubatan dan telah memulakan terapi antiretroviral (ART).

Pesuruhjaya Daerah, Chandan Kumar, memberitahu The Indian Express bahawa setiap keluarga telah menerima bantuan sebanyak Rs 2 lakh (kira-kira RM840,000) bagi menampung perbelanjaan mereka.

Pasukan kesihatan daerah kini telah mengenal pasti 256 penderma dari tahun 2023 hingga 2025 yang darahnya digunakan dalam pemindahan yang melibatkan kanak-kanak dijangkiti.

Pihak pentadbiran telah menyediakan senarai penderma mengikut blok untuk dikongsi dengan Pegawai Perubatan Bertanggungjawab (MOIC) bagi 15 blok kesihatan.

Setiap blok akan memanggil semula penderma untuk ujian HIV berulang, dan keputusan terkumpul akan diserahkan kepada pihak berkuasa kesihatan negeri.

Seorang pegawai berkata daerah itu juga telah mula mengenal pasti unit darah dibuang kerana HIV, iaitu darah yang didapati positif dan tidak digunakan untuk pemindahan.

“Pada bulan Oktober sahaja, empat unit darah positif HIV telah dikenal pasti dan lebih banyak lagi sedang disemak bagi bulan-bulan sebelumnya,” katanya.

Daerah West Singhbhum kini mempunyai 515 pesakit HIV berdaftar, termasuk pekerja migran dan kumpulan berisiko lain, menurut rekod Pusat Kaunseling dan Ujian Bersepadu (ICTC). ICTC kini mengendalikan rawatan susulan bagi kanak-kanak yang terjejas.

Menurut pegawai, pasukan hospital yang menyiasat kes ini juga meneliti kemungkinan lain tentang bagaimana kanak-kanak tersebut boleh dijangkiti HIV, termasuk penggunaan jarum suntikan berulang atau rawatan di luar fasiliti kerajaan.

Namun, kebanyakan keluarga menegaskan mereka tidak pernah pergi ke hospital lain.

Menteri Kesihatan Jharkhand, Irfan Ansari, memberitahu The Indian Express bahawa kes ini amat sensitif dan menuduh pihak pembangkang cuba mempolitikkan isu tersebut.

“Kami telah mengambil tindakan terhadap Pakar Bedah Awam dan doktor lain yang terlibat.

“Dalam kes pertama, kanak-kanak itu telah menjalani 32 kali pemindahan darah dalam tempoh hampir satu setengah tahun. Kami telah menguji semua penderma darah yang terlibat, dan setakat ini laporan mereka negatif,” katanya.  – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author