Terkini
Israel, Hamas tandatangan pelan damai, Hamas kata perang Gaza akan tamat
- “Ini bermakna semua tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan menarik balik tenteranya ke garisan yang telah dipersetujui,” kata Presiden AS, Donald Trump.
- Hamas dalam satu kenyataan memberitahu perjanjian berkenaan akan menamatkan peperangan di Gaza.
- “(Perjanjian ini) akan memastikan pengunduran penuh pasukan pendudukan, membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, serta melaksanakan pertukaran tahanan.” kata kenyataan itu.
WASHINGTON – Negara haram Israel akhirnya akur dengan tekanan dunia dan sebilangan rakyatnya yang mahu genosid di Gaza dihentikan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani Fasa Pertama Pelan Damai yang diselia Qatar, Mesir, Turki dan AS.
“Ini bermakna semua tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan menarik balik tenteranya ke garisan yang telah dipersetujui,” kata Trump di platform Truth Social, yang dilaporkan BBC.
Menurut Rumah Putih, Trump kini sedang mempertimbangkan untuk melakukan lawatan ke Timur Tengah dalam beberapa hari akan datang.
Wakil pendamai dari AS, Mesir dan Qatar yang sedang bermesyuarat di Sharm El-Sheikh berusaha memuktamadkan satu perjanjian gencatan senjata di Gaza serta pembebasan tebusan Israel yang masih ditahan Hamas.
Bagaimanapun, belum dinyatakan lagi nasib tahanan Palestin di penjara Israel.
Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan memberitahu perjanjian berkenaan akan menamatkan peperangan di Gaza.
“(Perjanjian ini) akan memastikan pengunduran penuh pasukan pendudukan, membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, serta melaksanakan pertukaran tahanan.” kata kenyataan itu.
Hamas turut mengucapkan terima kasih kepada Qatar, Mesir, Turki dan Presiden AS Donald Trump atas usaha mereka menjadi perantara, serta menyeru Trump dan pihak lain untuk “memastikan kerajaan pendudukan Israel mematuhi sepenuhnya syarat perjanjian tersebut.”
Hamas menambah bahawa rakyat Gaza “telah menunjukkan keberanian, maruah dan kepahlawanan yang tiada tandingan.”
“Kami tidak akan meninggalkan hak rakyat kami sehingga kebebasan, kemerdekaan dan penentuan nasib sendiri tercapai,” kata kumpulan pejuang berkenaan. – The Merdeka Times