Terkini
2 tahun perang-genosid Israel, kenapa ada negara Asia masih sokong Zionis?
- Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa negara Barat seperti UK, Sepanyol dan Kanada menggantung eksport senjata ke Israel.
- Pada masa sama, UK, Australia dan Kanada turut mengiktiraf kenegaraan Palestin tidak lama sebelum sesi terakhir Perhimpunan Agung PBB.
- Namun, di sebalik kecaman yang semakin memuncak, beberapa negara kecil di Asia masih setia menyokong Tel Aviv.
ISTANBUL – Selepas hampir dua tahun peperangan genosid yang meragut puluhan ribu nyawa di Gaza, Israel kini semakin terasing di pentas antarabangsa, dengan kuasa-kuasa besar menggantung eksport senjata dan mengiktiraf kenegaraan Palestin.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa negara Barat seperti UK, Sepanyol dan Kanada menggantung eksport senjata ke Israel.
Pada masa sama, UK, Australia dan Kanada turut mengiktiraf kenegaraan Palestin tidak lama sebelum sesi terakhir Perhimpunan Agung PBB.
Namun, menurut laporan Anadolu Anjasi, di sebalik kecaman yang semakin memuncak, beberapa negara kecil di Asia masih setia menyokong Tel Aviv.
Negara Asia Tenggara seperti Thailand mengekalkan hubungan diplomatik sejak 1954, dengan kedutaan Israel dibuka di Bangkok pada 1958.
Walaupun Bangkok mengiktiraf Palestin pada 2012, kerjasama dengan Israel terus kukuh, terutama dalam bidang pertanian dan pendidikan.
Setiap tahun, sekitar 100,000 pelancong Israel melawat Thailand, dan ribuan pekerja Thai bekerja di Israel. Negara itu juga popular dalam kalangan pelajar Israel.
Namun, menurut penganalisis politik Thai, Wanwichit Boonprong, isu kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin sentiasa dilaporkan di radio dan TV.
“Masyarakat Thai tidak selesa dan bersimpati dengan negara-negara Islam yang mahu Thailand mengambil pendirian global mengutuk keganasan Israel terhadap Palestin.”
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap berhati-hati.
“Kecaman secara terbuka tidak dapat dilakukan kerana kerajaan Thai melihat isu ini sebagai sensitif dan mahu mengekalkan hubungan seimbang dengan Israel,” katanya.
Hubungan perdagangan antara kedua-dua negara juga kekal kukuh, dengan jumlah dagangan mencecah AS$1.28 bilion pada 2024 dan perjanjian perdagangan bebas disokong pada Januari 2025.
Sementara itu, Nepal pula merupakan negara Asia Selatan pertama yang mengiktiraf Israel, menjalin hubungan diplomatik pada 1 Jun 1960.
Nepal tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, namun dalam banyak forum PBB dan isu kemanusiaan, ia sering mengundi menentang Israel atau mengambil pendirian berkecuali.
“Pendekatan diplomatik Nepal banyak dipandu oleh prinsip berkecuali,” ujar Pokharel, sambil menjelaskan bahawa negara itu “memilih untuk bekerjasama dengan Israel dalam bidang tertentu, terutama teknologi, terutamanya pertanian, pekerjaan asing dan latihan ketenteraan.”
Sementara itu Taiwan pula tidak mengiktiraf Israel mahupun Palestin secara rasmi tetapi telah mengekalkan hubungan perdagangan sejak 1993 melalui pejabat ekonomi di Taipei.
Kerjasama tertumpu kepada teknologi, industri dan pertahanan. – The Merdeka Times