Connect with us

Antarabangsa

WHO desak Afghanistan hapus sekatan doktor wanita di kawasan dilanda gempa

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan

 

  • Dalam temu bual bersama Reuters, Timbalan WHO untuk Afghanistan, Mukta Sharma berkata pihak berkuasa Afghanistan tidak membenarkan doktor wanita bergerak tanpa mahram (penjaga lelaki).
  • “Situasi ini menyukarkan rawatan kerana ramai wanita berasa tidak selesa atau takut untuk berinteraksi dengan petugas lelaki atau melakukan perjalanan sendiri untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
  • Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan di wilayah Kunar, Najibullah Hanif bagaimanapun menafikan wujud sebarang sekatan.

 

KABUL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa kerajaan Emiriah Islam Afghanistan menarik balik sekatan terhadap pekerja bantuan wanita agar mereka dapat memberikan rawatan kesihatan kepada mangsa di kawasan timur Afghanistan yang terjejas teruk akibat gempa bumi.

Dalam temu bual bersama Reuters, Timbalan WHO untuk Afghanistan, Mukta Sharma berkata pihak berkuasa Afghanistan tidak membenarkan doktor wanita bergerak tanpa mahram (penjaga lelaki).

Keadaan ini, katanya, telah menyekat penghantaran khidmat perubatan kepada wanita yang terjejas. Beliau menegaskan jumlah pekerja kesihatan wanita amat terhad, hanya sekitar 10 peratus kebanyakannya terdiri daripada bidan dan jururawat.

“Situasi ini menyukarkan rawatan kerana ramai wanita berasa tidak selesa atau takut untuk berinteraksi dengan petugas lelaki atau melakukan perjalanan sendiri untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Reuters yang memetik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa sekitar 11,600 wanita hamil turut terjejas oleh siri gempa bumi di timur Afghanistan.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan di wilayah Kunar, Najibullah Hanif, menafikan wujud sebarang sekatan.

Beliau menegaskan bahawa petugas bantuan, sama ada lelaki mahupun wanita, boleh berkhidmat tanpa halangan.

“Kami menyeru pertubuhan amal dan masyarakat antarabangsa membantu menguruskan krisis ini. Tidak ada sekatan, sama ada untuk doktor wanita atau lelaki. Semua berpeluang datang ke Kunar dan menziarahi kawasan terjejas,” katanya kepada TOLOnews.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Awam Emiriah Islam Afghanistan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara ini.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author