Antarabangsa
(VIDEO) Serangan Jerusalem: Penganalisis Politik Israel nafi Hamas sebagai dalang
- Bercakap kepada Al Jazeera dari Tel Aviv, penganalisis politik Israel, Ori Goldberg menegaskan bahawa beliau tidak percaya serangan tersebut diarahkan oleh Hamas.
- “Jika Hamas yang bertanggungjawab, itu bermakna mereka berusaha meningkatkan tahap penentangan terhadap apa yang kelihatan seperti percubaan luar untuk menamatkan konflik,” katanya.
BAITULMAQDIS – Seorang penganalisis politik Israel, Ori Goldberg, menyatakan keraguannya bahawa Hamas berada di sebalik serangan tembakan yang mengorbankan lima orang di persimpangan Ramot, Jerusalem Barat, pada Isnin.
Bercakap kepada Al Jazeera dari Tel Aviv, Goldberg menegaskan bahawa beliau tidak percaya serangan tersebut diarahkan oleh Hamas.
Menurutnya, jika benar Hamas yang melakukannya, ia menunjukkan kumpulan itu cuba meningkatkan penentangan terhadap usaha antarabangsa yang dilihat cuba menamatkan perang Gaza.
“Jika Hamas yang bertanggungjawab, itu bermakna mereka berusaha meningkatkan tahap penentangan terhadap apa yang kelihatan seperti percubaan luar untuk menamatkan konflik,” katanya.
Sebelum ini, pihak berkuasa Israel menyifatkan kejadian itu sebagai serangan pengganas dan mengumumkan bahawa dua penyerang telah “dineutralkan”.
Radio Tentera Israel melaporkan bahawa penyerang dipercayai berasal dari Tebing Barat, bukannya Jerusalem Timur seperti yang dilaporkan pada awalnya.
Serangan itu turut mencederakan lima orang parah dan beberapa yang lain mengalami kecederaan ringan akibat serpihan kaca. Polis Israel telah menutup laluan ke lokasi kejadian dan menggerakkan pasukan besar ke kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, akhbar Israel Hayom melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menangguhkan kehadirannya di perbicaraan kes rasuah kerana perkembangan keselamatan semasa.
Menteri Keselamatan sayap kanan Israel, Itamar Ben-Gvir, juga bergegas ke lokasi serangan.
Insiden ini berlaku ketika tentera Israel meneruskan serangan ke atas Gaza, sekali gus menambah kebimbangan bahawa keganasan akan merebak lebih luas di wilayah yang sudah lama bergolak itu.-The Merdeka Times