Antarabangsa
“Undang-undang syariah, Kanun keseksaan ancam hidup saya” -Tribunal Australia arah semakan semula visa lelaki gay Malaysia
- Permohonan visa perlindungan lelaki berketurunan Melayu Muslim itu pada mulanya ditolak oleh jabatan berkenaan kerana didakwa gagal mengemukakan bukti mencukupi tentang orientasi seksualnya sebagai golongan LGBT.
- Namun, tribunal berkenaan menerima keterangan lelaki itu sebagai meyakinkan, menyatakan beliau benar-benar seorang gay dan wujud kemungkinan nyata beliau bakal berdepan risiko sekiranya kembali ke Malaysia, di mana hubungan sejenis antara orang dewasa adalah menyalahi undang-undang.
SYDNEY –Sebuah tribunal semakan pentadbiran di Australia memutuskan bahawa seorang lelaki gay warga Malaysia berisiko menghadapi penganiayaan sekiranya dihantar pulang, sekali gus mengarahkan permohonan visanya disemak semula oleh Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.
Permohonan visa perlindungan lelaki berketurunan Melayu Muslim itu pada mulanya ditolak oleh jabatan berkenaan kerana didakwa gagal mengemukakan bukti mencukupi tentang orientasi seksualnya sebagai golongan LGBT.
Namun, tribunal berkenaan menerima keterangan lelaki itu sebagai meyakinkan, menyatakan beliau benar-benar seorang gay dan wujud kemungkinan nyata beliau bakal berdepan risiko sekiranya kembali ke Malaysia, di mana hubungan sejenis antara orang dewasa adalah menyalahi undang-undang.
Anggota tribunal, Li Luo, menegaskan lelaki itu berstatus pelarian dan berhak mendapat perlindungan di bawah Migration Act Australia.
Katanya, bentuk penganiayaan yang mungkin dihadapi termasuk pendakwaan di bawah undang-undang syariah dan Kanun Keseksaan, paksaan mengikuti amalan “terapi penukaran”, serta ancaman fizikal.
Dalam keterangannya, lelaki itu berkata beliau mula menyedari tarikan terhadap kaum sejenis sejak zaman sekolah menengah, namun hanya mula membuka diri ketika berusia 19 atau 20 tahun.
Pada 2016, beliau mendakwa dihalau keluar selepas abangnya menemui beliau bersama seorang lelaki di bilik rumah. Beliau turut mendakwa ditolak keluarga kerana dianggap bertentangan dengan ajaran agama.
“Saya terima hakikat dia ditolak keluarga, dihina dan dipinggirkan, hingga akhirnya menjadi pendiam, hanya bekerja dan merasa murung,” kata Li Luo dalam keputusan tribunal yang disiarkan minggu ini.
Lelaki itu tiba di Australia pada Februari 2020 dan memohon visa perlindungan dengan alasan beliau gay serta penyokong hak LGBT.
Sejak itu, beliau tidak lagi berhubung dengan keluarganya dan mendakwa mereka cuba mencari beliau selepas beliau meninggalkan Malaysia.
Walaupun jabatan meminta maklumat tambahan bagi menyokong tuntutannya, beliau tidak memberikan maklum balas, menyebabkan permohonannya ditolak pada 2022.
Dengan keputusan tribunal ini, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia kini diwajibkan mempertimbangkan semula permohonan visanya berdasarkan dapatan bahawa beliau memenuhi kriteria sebagai individu layak mendapat perlindungan.-The Merdeka Times