Connect with us

Antarabangsa

Taliban tolak ugutan Trump, Afghanistan tidak akan serah walau seinci tanahnya

Published

on

Foto: Pegawai Kementerian Pertahanan Afghanistan, Fasihuddin Fitrat

 

  • “Sebarang perjanjian melibatkan walau seinci tanah Afghanistan tidak mungkin berlaku.” – Fasihuddin Fitrat, Pegawai Kementerian Pertahanan Afghanistan
  • Dalam kenyataan pada Ahad, Taliban menegaskan bahawa kemerdekaan dan integriti wilayah Afghanistan adalah keutamaan mutlak serta menggesa Washington mematuhi perjanjian terdahulu yang melarang penggunaan kekerasan.

 

KABUL – Taliban menolak tuntutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar menyerahkan semula pangkalan udara Bagram, sambil menepis ugutannya bahawa “perkara buruk” akan berlaku jika permintaan itu tidak dipenuhi.

Dalam kenyataan pada Ahad, Taliban menegaskan bahawa kemerdekaan dan integriti wilayah Afghanistan adalah keutamaan mutlak serta menggesa Washington mematuhi perjanjian terdahulu yang melarang penggunaan kekerasan.

Mereka menambah bahawa dasar berasaskan realiti dan rasionaliti perlu diutamakan berbanding pendekatan gagal yang pernah dilakukan AS.

Bagram, terletak kira-kira 50 kilometer di utara Kabul, merupakan pangkalan tentera terbesar AS di Afghanistan sepanjang perang dua dekad menentang Taliban yang bermula selepas serangan 11 September 2001.

Pangkalan itu menjadi hab utama operasi tentera AS sebelum pengunduran yang tergesa-gesa pada 2021.

Kemudahan itu juga dikenali kerana ribuan tahanan dikurung bertahun-tahun tanpa bicara dalam era “perang menentang keganasan” AS, dengan ramai mendakwa didera atau diseksa. Taliban menguasai semula Bagram selepas kejatuhan kerajaan Afghanistan berikutan pengunduran AS.

Dalam seminggu kebelakangan ini, Trump berulang kali menyatakan hasrat untuk mendapatkan semula pangkalan itu.

Beliau memberi amaran keras kepada Taliban bahawa AS mahukan Bagram “segera, serta-merta”, dan jika tidak dipenuhi, “akan tahu apa tindakan seterusnya”.

Trump sebelum ini mendedahkan rancangan itu semasa lawatan rasmi ke United Kingdom, di samping Perdana Menteri Keir Starmer.

Beliau turut menarik perhatian Beijing apabila menyebut salah satu sebab utama mahu semula Bagram ialah lokasinya hanya sejam dari tapak ujian senjata nuklear China di Lop Nur, Xinjiang.

Menurut laman rasmi Tentera Udara AS, Bagram mempunyai landasan sepanjang 11,800 kaki yang mampu menampung pesawat pengebom dan kargo bersaiz besar. Trump turut mengecam bekas Presiden Joe Biden berhubung pengunduran huru-hara dari Afghanistan, dengan mendakwa AS “memberi Bagram percuma kepada Taliban”.

Pegawai Afghanistan pula menentang keras cadangan kemasukan semula tentera asing.

Seorang pegawai Kementerian Luar, Zakir Jalaly berkata rakyat Afghanistan tidak pernah menerima kehadiran tentera asing dalam sejarah mereka, namun menegaskan hubungan ekonomi dan politik dengan AS wajar diteruskan berdasarkan kepentingan bersama.

Sementara itu, Fasihuddin Fitrat dari Kementerian Pertahanan menegaskan sebarang perjanjian melibatkan “walau seinci tanah Afghanistan tidak mungkin berlaku”.

Bagram yang asalnya dibina Soviet pada 1950-an, kemudian diubah suai AS menjadi sebuah “perkampungan mini” lengkap dengan kemudahan runcit ketika era pendudukan mereka.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author