Antarabangsa
Sekatan ruang udara Arab-Islam boleh lumpuhkan ekonomi Israel – Think tank UAE
- Al Habtoor Research Centre menerbitkan laporan itu susulan serangan Israel ke atas Doha pada 9 September lalu yang menyasarkan pegawai Hamas, namun mengorbankan enam mangsa termasuk seorang pegawai keselamatan Qatar.
- Kertas kajian itu menyatakan sekatan ruang udara boleh menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Israel merosot antara 4.8 hingga 5.7 peratus, sekali gus mencetuskan kemelesetan.
DUBAI – Sebuah pusat kajian berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Habtoor Research Centre, mendedahkan bahawa sekatan ruang udara secara bersepadu oleh negara Arab dan Islam berpotensi memberikan kesan ekonomi serta geopolitik yang serius terhadap Israel.
Laporan itu diterbitkan pada Rabu, susulan serangan Israel ke atas Doha pada 9 September lalu yang menyasarkan pegawai Hamas, namun mengorbankan enam mangsa termasuk seorang pegawai keselamatan Qatar. Tiada pemimpin utama Hamas terkorban dalam serangan tersebut.
Kertas kajian itu menyatakan sekatan ruang udara boleh menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Israel merosot antara 4.8 hingga 5.7 peratus, sekali gus mencetuskan kemelesetan.
Ia juga mengunjurkan syarikat penerbangan Israel, El-Al, kehilangan pendapatan antara 60 hingga 75 peratus, selain menjejaskan eksport utama seperti berlian dan peralatan perubatan.
Sekatan itu dijangka menutup akses penerbangan terus ke Asia dan Afrika, memaksa laluan lebih jauh dengan kos tambahan antara AS$30,000 hingga AS$60,000 bagi setiap penerbangan.
Ia turut menjejaskan sektor pelancongan serta mendorong pembatalan kontrak dan pemindahan pusat penyelidikan keluar dari Israel.
Di luar aspek ekonomi, laporan itu menegaskan langkah bersepadu ini akan mengubah semula landskap geopolitik serantau, termasuk meningkatkan tekanan ke atas Amerika Syarikat (AS) yang selama ini menjadi sekutu rapat Teluk, khususnya Qatar.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengakui negara itu berdepan ancaman pengasingan global dan mungkin terpaksa beralih kepada ekonomi kendiri, termasuk membangunkan industri persenjataan domestik.
Al Habtoor Research Centre turut menekankan sekatan ruang udara ini akan menjadi “alat tekanan efektif” terhadap Israel tanpa pertumpahan darah.
Namun ia juga memberi amaran risiko konflik serantau lebih luas jika Israel bertindak mencabarnya secara ketenteraan.
Pengasas pusat kajian itu, Khalaf Ahmad al-Habtoor, menegaskan kuasa ekonomi Arab mampu menjadi mekanisme tekanan berkesan.
“Jika kita bersatu, dunia akan terpaksa membuat perhitungan semula. Kesabaran kita bukan kelemahan, tetapi strategi,” katanya.
Serangan Israel di Gaza dan tindakan terhadap Doha telah menimbulkan kecaman meluas termasuk daripada negara-negara yang menandatangani Abraham Accords bersama Israel, seperti UAE, Bahrain, Maghribi dan Sudan, sekali gus menandakan kemungkinan perubahan haluan diplomatik di masa depan.-The Merdeka Times