Antarabangsa
Perebutan selesai, Lachlan Murdoch sah kuasai empayar media Fox News & WSJ
- Pengumuman pada Isnin itu menamatkan perebutan dalaman keluarga mengenai siapa yang bakal mewarisi salah satu konglomerat media paling berprofil tinggi di dunia, sekali gus menyelesaikan persoalan penggantian selepas kematian Rupert Murdoch, 94.
- “Sudah pasti Fox News akan terus dijaga oleh seorang tokoh konservatif. Dan sejujurnya, jika saya seorang pemegang saham, saya akan melihat ini sebagai langkah yang sangat baik,” kata Claire Enders, Ketua Pegawai Eksekutif firma penyelidikan media UK, Enders Analysis.
- Fox News kekal sebagai rangkaian berita kabel nombor satu di Amerika Syarikat, dengan pengaruh besar dalam politik AS, khususnya dalam kalangan Republikan.
LOS ANGELES – Keluarga Murdoch akhirnya mencapai persetujuan yang menyaksikan anak sulung Rupert Murdoch, Lachlan Murdoch, mengukuhkan penguasaannya ke atas empayar media keluarga yang merangkumi Fox News dan The Wall Street Journal (WSJ).
Pengumuman pada Isnin itu menamatkan perebutan dalaman keluarga mengenai siapa yang bakal mewarisi salah satu konglomerat media paling berprofil tinggi di dunia, sekali gus menyelesaikan persoalan penggantian selepas kematian Rupert Murdoch, 94.
Drama perebutan kuasa dalam keluarga Murdoch sebelum ini sering dikaitkan sebagai inspirasi kepada siri televisyen terkenal Succession.
Di bawah perjanjian itu, tiga anak Rupert, James Murdoch, Elisabeth Murdoch dan Prudence MacLeod masing-masing dijangka menerima sekitar AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) hasil daripada penjualan pegangan saham mereka dalam Fox dan News Corp dalam tempoh enam bulan.
Menurut kenyataan syarikat, penjualan kira-kira 16.9 juta saham Fox Corp Kelas B dan 14.2 juta saham News Corp Kelas B pada harga diskaun 4.5 peratus daripada harga penutup terakhir berjaya mengumpulkan sekitar AS$1.37 bilion.
Selain itu, satu amanah keluarga baharu akan diwujudkan untuk memberi manfaat kepada Lachlan serta dua adik perempuannya, Grace dan Chloe, iaitu anak Rupert hasil perkahwinannya dengan Wendi Deng Murdoch.
Amanah bernilai sekitar AS$3.3 bilion itu akan memegang 36 peratus saham biasa Fox Kelas B dan 33 peratus saham News Corp Kelas B.
Sebelum ini, pertikaian perebutan kuasa tersebut pernah dibawa ke mahkamah Reno, Nevada, apabila Rupert cuba mengubah syarat amanah keluarga yang ditubuhkan selepas perceraian dengan isteri keduanya, Anna, pada 1999.
Amanah itu pada asalnya menetapkan pegangan saham Fox dan News Corp akan diwarisi oleh empat anak tertua Rupert iaitu Prudence, Elisabeth, Lachlan dan James selepas kematiannya.
Rupert dilaporkan bimbang tiga daripada anaknya yang lebih sederhana dari segi politik iaitu James, Elisabeth dan Prudence akan cuba menyingkirkan Lachlan, yang kini memegang jawatan pengerusi eksekutif Fox dan pengerusi News Corp.
Namun, cubaan Rupert dan Lachlan untuk mengubah amanah tersebut ditolak mahkamah pada Disember lalu atas alasan “niat tidak baik.”
Fox News kekal sebagai rangkaian berita kabel nombor satu di Amerika Syarikat, dengan pengaruh besar dalam politik AS, khususnya dalam kalangan Republikan.
“Sudah pasti Fox News akan terus dijaga oleh seorang tokoh konservatif. Dan sejujurnya, jika saya seorang pemegang saham, saya akan melihat ini sebagai langkah yang sangat baik,” kata Claire Enders, Ketua Pegawai Eksekutif firma penyelidikan media UK, Enders Analysis.-The Merdeka Times