Antarabangsa
Penembak Charlie Kirk masih diburu, Tiada suspek ditahan, FBI mohon bantuan awam
- Pengarah FBI, Kash Patel, dalam satu kenyataan di media sosial pada lewat malam Rabu berkata, siasatan masih diteruskan selepas individu yang ditahan sebelum ini dibebaskan selepas soal siasat.
- Beberapa rakaman video dari kawasan bumbung Losee Center, lebih 100 meter dari lokasi ucapan Kirk, menunjukkan kelibat seorang individu berlari dan berbaring di atas bumbung sebelum tembakan dilepaskan.
- Rakaman lain pula menunjukkan individu sama melarikan diri sejurus selepas kejadian.
UTAH – Pihak berkuasa di Utah masih meneruskan pemburuan terhadap individu yang menembak mati Charlie Kirk, pengasas kumpulan aktivis belia konservatif Turning Point USA, selepas dua individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan tanpa pertuduhan.
Kirk, yang juga sekutu rapat Presiden Donald Trump, ditembak kira-kira 20 minit selepas memulakan ucapannya di Universiti Utah Valley pada Rabu.
Beliau ketika itu berada di bawah sebuah khemah dengan slogan “The American Comeback”.
Menurut Gabenor Utah, Spencer Cox, serta Trump sendiri, insiden itu disifatkan sebagai satu bentuk “pembunuhan politik.”
Ketua Pengarah FBI, Kash Patel, dalam satu kenyataan di media sosial pada lewat malam Rabu berkata, siasatan masih diteruskan selepas individu yang ditahan sebelum ini dibebaskan selepas soal siasat.
Patel menjelaskan bahawa pihak berkuasa kini memohon kerjasama awam bagi menyalurkan maklumat yang boleh membantu siasatan.
Difahamkan, individu yang dibebaskan itu merupakan tahanan kedua yang dilepaskan selepas didapati tidak terlibat.
Tahanan pertama, seorang aktivis politik tempatan, telah didakwa atas kesalahan menghalang siasatan tetapi bukan sebagai penembak.
Beberapa rakaman video dari kawasan bumbung Losee Center, lebih 100 meter dari lokasi ucapan Kirk, menunjukkan kelibat seorang individu berlari dan berbaring di atas bumbung sebelum tembakan dilepaskan.
Rakaman lain pula menunjukkan individu sama melarikan diri sejurus selepas kejadian.
Insiden tembakan itu mencetuskan kecaman daripada ahli politik Demokrat dan Republikan. Malah, Kongres sempat mengadakan saat bertafakur, namun suasana berubah tegang dengan pertikaman lidah antara dua parti utama.
Sebagai tanda penghormatan, Trump telah mengarahkan semua bendera Amerika dikibarkan separuh tiang sehingga Ahad ini.
Charlie Kirk menubuhkan Turning Point USA pada 2012 dan menjadi wajah penting gerakan konservatif di kampus-kampus seluruh Amerika Syarikat. Programnya sering menarik ribuan anak muda, dan beliau dikenali mempunyai pengaruh besar di White House semasa pentadbiran Trump. -The Merdeka Times