Antarabangsa
Pemimpin BJP desak Muslim tinggalkan Ayodhya, Tolak pembinaan masjid
- “Tiada masjid sebagai ganti Babri Masjid atau mana-mana masjid lain akan dibenarkan di Ayodhya. Mereka (Muslim) tidak mempunyai hak untuk tinggal di sini. Kami akan pastikan mereka disingkirkan dari Ayodhya walau apa cara sekalipun, dan selepas itu kami akan meraikan Diwali dengan penuh meriah,” – Pemimpin BJP, Vinay Katiyar
- Isu pembinaan masjid baharu di Ayodhya terus menjadi topik hangat sejak Mahkamah Agung India memutuskan pada 2019 bahawa tapak Babri Masjid, yang dirobohkan pada 1992, diberikan kepada penganut Hindu untuk pembinaan Kuil Ram Mandir, manakala pihak Muslim diberikan tanah alternatif bagi mendirikan masjid
AYODHYA– Pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), Vinay Katiyar mencetuskan kontroversi apabila mendesak umat Islam meninggalkan daerah Ayodhya sambil menegaskan pembinaan masjid tidak akan dibenarkan di bandar yang sinonim dengan kuil Hindu itu.
Katiyar, yang terkenal sebagai tokoh utama dalam gerakan pembinaan Kuil Ram Mandir, membuat kenyataan tersebut pada sidang media Rabu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan pihak berkuasa tempatan menolak rancangan pembinaan Masjid Dhannipur berikutan isu kelulusan NOC yang masih tergantung.
“Tiada masjid sebagai ganti Babri Masjid atau mana-mana masjid lain akan dibenarkan di Ayodhya.
“Mereka (Muslim) tidak mempunyai hak untuk tinggal di sini. Kami akan pastikan mereka disingkirkan dari Ayodhya walau apa cara sekalipun, dan selepas itu kami akan meraikan Diwali dengan penuh meriah,” katanya.
Katiyar menambah bahawa masyarakat Islam tidak mempunyai urusan di Ayodhya dan harus meninggalkan daerah itu serta berpindah ke seberang Sungai Saryu.
Kenyataan keras itu mengundang kecaman daripada Ahli Parlimen Faizabad daripada Parti Samajwadi, Awadhesh Prasad, yang menyifatkan Katiyar sebagai sudah lemah fikiran.
“Negara ini bukan milik satu agama sahaja. Ia milik semua rakyat daripada pelbagai agama yang tinggal bersama di sini. Beliau sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan,” kata Awadhesh.
Isu pembinaan masjid baharu di Ayodhya terus menjadi topik hangat sejak Mahkamah Agung India memutuskan pada 2019 bahawa tapak Babri Masjid, yang dirobohkan pada 1992, diberikan kepada penganut Hindu untuk pembinaan Kuil Ram Mandir, manakala pihak Muslim diberikan tanah alternatif bagi mendirikan masjid. -The Merdeka Times