Antarabangsa
Negara NATO batalkan perjanjian senjata lebih AS$1 bilion dengan Israel
- Menurut laporan media tempatan yang memetik sumber kerajaan, Kementerian Pertahanan Sepanyol telah menamatkan perjanjian bernilai €700 juta (AS$826 juta) untuk 12 pelancar roket SILAM serta kontrak €287.5 juta (AS$339 juta) bagi 168 peluru berpandu anti-kereta kebal Spike L.R.
- Sepanyol bukan satu-satunya negara yang mengambil pendirian sedemikian. Itali, Belgium, Belanda, Jepun dan Slovenia turut mengenakan larangan penuh atau separa terhadap eksport senjata ke Israel, manakala Jerman memutuskan untuk tidak lagi meluluskan penghantaran senjata yang boleh digunakan di Gaza.
MADRID – Kerajaan Sepanyol membatalkan kontrak pertahanan bernilai hampir €1 bilion (AS$1.18 bilion) dengan firma-firma Israel, langkah paling tegas setakat ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri Pedro Sanchez sebagai tindak balas terhadap serangan rejim Zionis di Gaza.
Menurut laporan media tempatan yang memetik sumber kerajaan, Kementerian Pertahanan Sepanyol telah menamatkan perjanjian bernilai €700 juta (AS$826 juta) untuk 12 pelancar roket SILAM serta kontrak €287.5 juta (AS$339 juta) bagi 168 peluru berpandu anti-kereta kebal Spike L.R.
Sistem SILAM berasaskan platform Elbit PULS dari Israel itu sepatutnya dibina oleh konsortium tempatan Sepanyol. Namun, pembatalan rasmi dijangka dimuktamadkan minggu hadapan ketika Madrid bersiap untuk memutuskan hubungan ketenteraan dan teknologi dengan Israel sambil mencari pembekal alternatif.
Langkah itu susulan janji Sanchez minggu lalu untuk menggubal undang-undang baharu yang melarang penjualan dan pembelian senjata dengan Israel.
Beliau sebelum ini menyatakan Tel Aviv melakukan kekejaman dan genosid terhadap rakyat Palestin, selain mengumumkan sembilan langkah bagi menamatkan keterlibatan Sepanyol dengan Israel.
Antara langkah yang diumumkan ialah embargo senjata kekal, penggantungan kerjasama ketenteraan, larangan ke atas menteri-menteri ekstremis Israel, sekatan terhadap import dari penempatan haram, serta peluasan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Sepanyol bukan satu-satunya negara yang mengambil pendirian sedemikian. Itali, Belgium, Belanda, Jepun dan Slovenia turut mengenakan larangan penuh atau separa terhadap eksport senjata ke Israel, manakala Jerman memutuskan untuk tidak lagi meluluskan penghantaran senjata yang boleh digunakan di Gaza.
Sementara itu, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menyatakan bahawa kempen ketenteraan Israel di Gaza boleh ditakrifkan sebagai genosid, berdasarkan Konvensyen Genosid 1948.
Israel turut berdepan kes berasingan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Peperangan Gaza bermula pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas melancarkan serangan di selatan Israel yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang serta menawan lebih 250 tebusan. Sejak itu, lebih 65,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.-The Merdeka Times