Connect with us

Antarabangsa

Mangsa Kem Tahanan Uyghur dedah pemandulan paksa, Seksaan di Xinjiang

Published

on

Foto: Seorang bekas guru bahasa Cina, Qalbinur Sidiq
  • Qalbinur, 55, berkata beliau dipaksa mengajar di dua kem tahanan pada 2017, di mana beliau melihat sendiri tahanan dirantai, dipukul serta dipaksa merangkak untuk masuk ke bilik kelas.
  • Selepas sembilan bulan bekerja di kem tersebut, Qalbinur sendiri turut menjadi mangsa apabila dikenakan pemandulan paksa.
  • “Saya merayu agar tidak dibedah, tetapi mereka tetap melakukannya,” – Qalbinur Sidiq

 

Seorang bekas guru bahasa Cina, Qalbinur Sidiq, mendedahkan pengalaman ngerinya ketika dipaksa bekerja di kem tahanan etnik Uyghur dan minoriti Muslim lain di Xinjiang, China, yang menyaksikan tahanan diseksa, dihina serta dikenakan kawalan kelahiran secara paksa.

Qalbinur, 55, berkata beliau dipaksa mengajar di dua kem tahanan pada 2017, di mana beliau melihat sendiri tahanan dirantai, dipukul serta dipaksa merangkak untuk masuk ke bilik kelas.

Katanya, jeritan meminta tolong sering kedengaran dari bilik lain.

Selepas sembilan bulan bekerja di kem tersebut, Qalbinur sendiri turut menjadi mangsa apabila dikenakan pemandulan paksa.

“Saya merayu agar tidak dibedah, tetapi mereka tetap melakukannya,” katanya, yang kemudian berhijrah ke Belanda pada 2019.

Lebih sejuta etnik Uyghur, Kazakh, Kyrgyz, Tajik dan Uzbek dipercayai dipenjarakan dalam rangkaian kem berkawal ketat di Xinjiang sepanjang lapan tahun lalu.

Beijing mendakwa ia sebagai pusat latihan vokasional untuk membanteras ekstremisme, namun laporan mangsa dan kumpulan hak asasi mendedahkan wujudnya rogol, pengguguran paksa, serta buruh paksa.

Di kem tahanan wanita, Qalbinur menyaksikan tahanan diberi pil misteri yang menghentikan haid serta dipaksa menjalani pemandulan. Katanya, seorang gadis muda berusia sekitar 19 tahun meninggal dunia selepas tubuhnya gagal menahan kesan ubatan.

Qalbinur sendiri dipasang alat intrauterin (IUD) meskipun ketika itu beliau berusia 47 tahun, menyebabkan pendarahan teruk dan kesakitan berpanjangan sehingga akhirnya dipaksa bersara awal sebelum menjalani pembedahan pemandulan.

Beliau akhirnya berjaya keluar dari China selepas anak perempuannya di Belanda menghantar surat jemputan, namun proses mendapatkan pasport mengambil masa sembilan bulan.

Katanya, jika beliau seorang Uyghur, peluang itu hampir mustahil dicapai.

Selepas mendapat suaka di Belanda pada 2019, Qalbinur lantang bersuara mengenai penindasan Uyghur. Akibatnya, polis China mengugutnya supaya berhenti, malah suaminya dipaksa menceraikannya dan kekal terperangkap di Xinjiang.

“Saya diberitahu, jika saya diam mereka akan bantu suami saya keluar. Tetapi saya menolak. Saya tidak akan berdiam diri,” tegas Qalbinur, yang kini terus menjadi saksi penting terhadap dakwaan genosid Beijing ke atas Uyghur dan minoriti Muslim lain di Xinjiang.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author