Connect with us

Antarabangsa

Harvard menang saman terhadap Trump, dapat semula dana AS$3 bilion

Published

on

Foto: Presiden AS, Donald Trump
  • Dalam keputusannya yang setebal 84 muka surat, Hakim Allison Burroughs berkata pentadbiran Trump tidak menjalankan sebarang semakan atau menilai mana-mana geran untuk membuktikan ia akan memperbaiki keadaan pelajar Yahudi di Harvard.
  • Menurut Burroughs, Kerajaan AS juga tidak mengumpul sebarang data mengenai anti-semitisme di universiti itu.
  • “Anti-semitisme, seperti diskriminasi atau prasangka lain, tidak boleh diterima. Dan jelas, walaupun hanya berdasarkan pengakuan Harvard sendiri, bahawa Harvard telah dilanda antisemitisme dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan sepatutnya menangani isu ini dengan lebih baik,” tulis Burroughs dalam keputusannya.

 

BOSTON – Hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) memutuskan memihak kepada Universiti Harvard dalam saman terhadap Kerajaan Presiden AS, Donald Trump, dengan menyatakan bahawa penggantungan hampir AS$3 bilion dalam pembiayaan persekutuan kepada universiti tersebut tidak ada kaitan dengan dakwaan anti-semitisme oleh kerajaan.

Dalam keputusannya yang setebal 84 muka surat, Hakim Allison Burroughs berkata pentadbiran Trump tidak menjalankan sebarang semakan atau menilai mana-mana geran untuk membuktikan bahawa ia akan memperbaiki keadaan pelajar Yahudi di Harvard.

Menurut Burroughs, Kerajaan AS juga tidak mengumpul sebarang data mengenai anti-semitisme di universiti itu.

“Anti-semitisme, seperti diskriminasi atau prasangka lain, tidak boleh diterima. Dan jelas, walaupun hanya berdasarkan pengakuan Harvard sendiri, bahawa Harvard telah dilanda antisemitisme dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan boleh (dan sepatutnya) menangani isu ini dengan lebih baik,” tulis Burroughs dalam keputusannya yang dilaporkan Middle East Eye.

Malah, semakan rekod pentadbiran menyukarkan untuk membuat kesimpulan selain Defendan menggunakan antisemitisme sebagai helah untuk menyerang universiti-universiti utama negara ini secara ideologi,” katanya.

Tindakan kerajaan, tambah beliau, telah menjejaskan penyelidikan dan kebajikan semua yang boleh mendapat manfaat daripada penyelidikan itu, serta mencerminkan pengabaian terhadap hak yang dilindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang persekutuan.

Pada Jun, siasatan oleh pentadbiran Trump menuduh Universiti Harvard melanggar hak sivil pelajar Yahudi dan Israel.

Pegawai dari Jawatankuasa Bersama untuk Membanteras Anti-semitisme menulis dalam satu surat bahawa Harvard “dalam beberapa kes, bersikap acuh tak acuh secara sengaja, dan dalam kes lain, terlibat dalam gangguan anti-semitik terhadap pelajar, fakulti, dan kakitangan Yahudi.”

Surat itu juga menyatakan bahawa “kegagalan untuk melaksanakan perubahan yang mencukupi dengan segera akan mengakibatkan kehilangan semua sumber kewangan persekutuan dan terus menjejaskan hubungan Harvard dengan kerajaan persekutuan.”

Jawatankuasa itu mendakwa perkhemahan protes pelajar pro-Palestin di Harvard tahun lalu, salah satu daripada lima di kawasan Boston, kononnya menimbulkan ketakutan dan mengganggu pengajian pelajar Yahudi dan Israel, walaupun beberapa pelajar Yahudi turut serta dan mengadakan majlis keagamaan di perkhemahan tersebut.

Harvard telah menyaman pentadbiran Trump atas tiga perkara utama.

Pertama,  bahwa pembekuan pembiayaan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap keengganan Harvard untuk tunduk kepada tuntutan Defendan yang berasaskan kandungan dan pandangan”, yang melanggar Pindaan Pertama.

Kedua, bahawa penamatan geran tidak mematuhi Title VI, undang-undang AS yang melarang diskriminasi berdasarkan kaum, warna kulit, atau asal negara dalam program yang menerima bantuan kewangan persekutuan

Manakala ketiga bahawa kerajaan bertindak secara sewenang-wenangnya kerana mereka gagal memberikan penjelasan beralasan tentang bagaimana atau mengapa pembekuan dan penamatan pembiayaan akan membantu menamatkan antisemitisme.

Harvard sebelum ini telah cuba menangani tuduhan antisemitisme dengan menerima pakai definisi anti-semitisme yang kontroversial, yang merangkumi Zionisme sebagai kelas yang dilindungi, serta memecat pemimpin fakulti di pusat pengajian Timur Tengah universiti itu.

Harvard juga menggantung kumpulan pelajar, Palestine Solidarity Committee, pada April lalu. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author