Antarabangsa
Flotila ke Gaza : Dimanakah kilometer kritikal yang sering dirampas Israel?
Setiap percubaan flotila antarabangsa untuk menghantar bantuan kemanusiaan terus ke Gaza hampir pasti berakhir dengan campur tangan tentera laut Israel, yang biasanya berlaku jauh di perairan antarabangsa sebelum sampai ke pantai Gaza.
Rekod lalu menunjukkan bahawa Israel tidak menunggu kapal menghampiri sempadan perairan Palestin, sebaliknya bertindak memintas di jarak puluhan malah ratusan kilometer dari Gaza.
Pada tahun 2018, kapal Norway Al-Awda yang menyertai Freedom Flotilla telah ditahan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza, iaitu masih dalam perairan antarabangsa.
Kapal itu, yang membawa aktivis dan bantuan kemanusiaan, dipaksa ditunda ke pelabuhan Ashdod di Israel.
Dalam kejadian lebih baru pada Jun 2025, kapal Madleen yang berdaftar di United Kingdom dan membawa aktivis termasuk Greta Thunberg, ditahan sejauh 160 kilometer dari pantai Gaza.
Pasukan laut Israel dilaporkan menggunakan dron dan gas pemedih mata sebelum merampas kapal tersebut dan mengalihkannya ke Ashdod.
Sebulan selepas itu, kapal Handala yang membawa bekalan makanan termasuk susu bayi turut dipintas di perairan antarabangsa. Israel menuduh ia cuba “menceroboh sekatan maritim” walaupun misi tersebut adalah kemanusiaan.
Berdasarkan semua insiden, jelas bahawa Israel melaksanakan sekatan laut dengan ketat, meliputi jarak puluhan hingga ratusan kilometer dari Gaza. Kapal bantuan tidak dibenarkan masuk terus ke Gaza, sebaliknya dihalakan ke pelabuhan Israel seperti Ashdod untuk pemeriksaan.
Namun, rekod sejarah menunjukkan ada kejayaan awal flotila.
Pada tahun 2008, dua kapal daripada gerakan Free Gaza Movement dilaporkan berjaya menembusi sekatan laut Israel dan tiba ke Gaza, menjadikan ia antara percubaan pertama yang mencapai pantai Palestin secara langsung.
Daripada 31 kapal yang dilancarkan gerakan tersebut antara 2008 hingga 2016, sebanyak lima kapal dilaporkan berjaya sampai ke Gaza.
Walau bagaimanapun, selepas insiden besar flotila 2010 yang berakhir dengan keganasan di perairan antarabangsa, hampir semua misi selepas itu dipintas lebih awal oleh tentera Israel.
Secara konsisten, flotila kemanusiaan ke Gaza telah dipintas di perairan antarabangsa, jauh sebelum memasuki perairan Palestin.
Jarak pencegahan berbeza. Ada sekitar 60 batu nautika, ada sehingga 160 kilometer tetapi semuanya berlaku dalam Zon Kuning yang menjadi simbol penguatkuasaan blokade Israel.
Walaupun ada beberapa kejayaan kecil pada 2008 yang berjaya sampai ke Gaza, corak umum sejak lebih sedekad lalu membuktikan hampir semua flotila kini gagal menembusi sekatan maritim Israel.-The Merdeka Times