- Tentera Israel (IDF) mendakwa menemui dokumen yang kononnya membuktikan hubungan langsung antara Hamas dengan penganjur flotila, termasuk Persidangan Palestin untuk Palestin di Luar Negara (PCPA).
- IDF mendakwa memiliki surat bertarikh 2021 yang ditandatangani Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang menyeru PCPA untuk bersatu.
GAZA – Ketika misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla berlayar membawa bantuan ke Gaza, Israel sekali lagi cuba mensabotaj usaha antarabangsa itu dengan menuduh ia didanai serta dianjurkan Hamas.
Tentera Israel (IDF) mendakwa menemui dokumen yang kononnya membuktikan hubungan langsung antara Hamas dengan penganjur flotila, termasuk Persidangan Palestin untuk Palestin di Luar Negara (PCPA).
Israel menuduh PCPA yang ditubuhkan pada 2018 berperanan sebagai sayap luar Hamas, walaupun hakikatnya ia merupakan platform masyarakat antarabangsa untuk menyuarakan sokongan kepada Palestin.
Sebagai sebahagian daripada naratifnya, IDF mendakwa memiliki surat bertarikh 2021 yang ditandatangani Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang menyeru PCPA untuk bersatu.Israel juga menguar-uarkan kononnya ada senarai nama aktivis termasuk Zaher Birawi di Britain dan Saif Abu Kishk di Sepanyol, yang dikaitkan dengan operasi flotila.
Menurut Kementerian Luar Israel, Hamas di Gaza dikatakan menguruskan operasi tempatan manakala Hamas di luar negara menggerakkan mobilisasi antarabangsa.
Misi Global Sumud Flotilla kali ini melibatkan kira-kira 50 kapal, yang turut diiringi kapal tentera laut Itali dan Sepanyol, manakala media Greece melaporkan pemantauan dron Turki ke atas perjalanan konvoi tersebut.
Penganjur bertegas mereka mahu menghantar bantuan terus ke Gaza, menolak tawaran Israel supaya kargo dialihkan melalui pelabuhan Ashkelon atau Cyprus. Walaupun berdepan tekanan diplomatik dan cubaan fitnah, flotila tetap bergerak dengan matlamat kemanusiaan.
Antara peserta paling mendapat perhatian ialah aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, yang pernah diusir Israel pada Jun lalu selepas menyertai usaha serupa menentang sekatan Gaza. Ketika itu, pegawai Israel memperlekeh usaha tersebut sebagai sekadar “selfie yacht”.
Sejak Hamas mengambil alih Gaza pada 2007, Israel bersama Mesir mengekalkan sekatan ketat yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan tanpa halangan. Sebagai tindak balas, aktivis antarabangsa melancarkan flotila secara berkala untuk mencabar sekatan yang dianggap zalim itu.Walaupun pada 2011 siasatan bebas PBB mengkritik kekerasan Israel terhadap insiden Mavi Marmara 2010, Tel Aviv terus mempertahankan sekatan lautnya sebagai sah.
Flotila dijangka menghampiri perairan Israel dalam beberapa hari lagi, dengan masyarakat antarabangsa memerhati rapat bagaimana Israel bakal bertindak samaada terus menghalang dengan kekerasan, atau membiarkan bantuan itu sampai ke Gaza. –The Merdeka Times
