Connect with us

Antarabangsa

Budak lelaki Afghanistan sembunyi dalam gear pendaratan pesawat ke Delhi

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan

 

  • Pihak berkuasa India berkata remaja itu, yang berasal dari bandar Kunduz di utara Afghanistan, ditemui berkeliaran di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi selepas pesawat tersebut mendarat pada Isnin.
  • Difahamkan, budak itu menyelinap ke dalam Lapangan Terbang Kabul dengan mengekori sekumpulan penumpang, sebelum bersembunyi di ruang roda belakang pesawat.

 

NEW DELHI  — Seorang budak lelaki berusia 13 tahun dari Afghanistan membuat perjalanan berisiko tinggi dengan menyelinap masuk ke ruang gear pendaratan pesawat penumpang Kam Air dari Kabul ke Delhi.

Pihak berkuasa India berkata remaja itu, yang berasal dari bandar Kunduz di utara Afghanistan, ditemui berkeliaran di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi selepas pesawat tersebut mendarat pada Isnin.

Beliau kemudiannya ditahan anggota keselamatan India dan disoal siasat selama beberapa jam sebelum dihantar pulang ke Kabul dengan penerbangan sama.

Menurut laporan awal, remaja itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia membuat perjalanan tersebut “sekadar kerana ingin tahu.”

Jurucakap Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat India (CISF) memaklumkan bahawa budak lelaki itu berjaya menaiki penerbangan Kam Air RQ-4401 tanpa dikesan, yang mendarat di Delhi sekitar jam 11.10 pagi (5.40 GMT) pada Ahad.

Beliau mengaku menyembunyikan diri di ruang gear pendaratan bahagian tengah belakang pesawat. Pemeriksaan lanjut oleh kakitangan syarikat penerbangan turut menemui sebuah pembesar suara kecil berwarna merah yang dibawanya.

Akhbar Indian Express melaporkan bahawa remaja tersebut pada asalnya mahu ke Iran, namun tidak menyedari bahawa pesawat yang dimasukinya menuju ke Delhi, bukan Tehran.

Difahamkan, budak itu menyelinap ke dalam Lapangan Terbang Kabul dengan mengekori sekumpulan penumpang, sebelum bersembunyi di ruang roda belakang pesawat dengan hanya membawa pembesar suara merah tersebut.

Insiden penumpang gelap dalam pesawat bukanlah sesuatu yang baharu. Sebilangan kecil berjaya tiba di destinasi, namun kebanyakannya maut akibat kekurangan oksigen atau terjatuh ketika gear pendaratan dibuka.

Pada 2022, seorang lelaki Kenya berusia 22 tahun ditemui masih hidup dalam ruang gear pesawat kargo yang tiba di Amsterdam, selepas menempuh perjalanan udara yang ekstrem.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author