Connect with us

Antarabangsa

AS sekali lagi veto gesaan gencatan senjata Gaza di UNSC

Published

on

Foto: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) dan Presiden AS, Donald Trump (kanan).

 

  • Tindakan berulang AS itu mencetuskan kemarahan luar biasa dalam kalangan 14 anggota lain UNSC yang semakin lantang menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan majlis tersebut memberi tekanan kepada Israel bagi menghentikan penderitaan rakyat Gaza.
  • Duta Israel ke PBB, Danny Danon, mengecam resolusi berkenaan sambil mendakwa ia hanya sandiwara bagi sebahagian anggota majlis.
  • “Bagi Israel, ini hakikat harian. Usul ini dikemukakan tanpa kecaman terhadap Hamas, tanpa kecaman terhadap pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober,” katanya.

 

 

NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa vetonya semalam untuk menggagalkan gesaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya gencatan senjata dilaksanakan di Gaza.

Langkah itu bererti AS terus melindungi sekutunya, Israel, daripada tekanan diplomatik global yang menuntut penghentian perang di wilayah berkenaan.

Daripada 15 anggota UNSC, sebanyak 14 menyokong resolusi yang dibentangkan pada Ogos lalu, selepas PBB secara rasmi mengisytiharkan berlakunya kebuluran akibat hampir dua tahun perang Israel terhadap Hamas di Gaza.

Ketika undian berlangsung, kereta kebal dan jet pejuang Israel dilaporkan masih mengebom bandar Gaza, diiringi serangan darat besar-besaran yang memaksa ribuan penduduk Palestin melarikan diri ke selatan.

Teks resolusi yang diperoleh agensi berita AFP menggesa pelaksanaan “gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza yang dipatuhi semua pihak” serta pembebasan segera semua tebusan.

Bagaimanapun, Washington menolak gesaan itu sebagaimana dilakukan sebelum ini, termasuk pada Jun lalu, apabila ia turut menggunakan veto untuk menyokong Israel.

Tindakan berulang AS itu mencetuskan kemarahan luar biasa dalam kalangan 14 anggota lain UNSC yang semakin lantang menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan majlis tersebut memberi tekanan kepada Israel bagi menghentikan penderitaan rakyat Gaza.

Pada Selasa lalu, suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang diberi mandat oleh PBB buat pertama kali mengeluarkan analisis bebas dengan menuduh Israel melakukan “genosid” di Gaza sejak Oktober 2023 dengan niat untuk “memusnahkan” rakyat Palestin.

Isu ini dijangka menjadi fokus utama sidang kemuncak tahunan PBB minggu depan di New York.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon, mengecam resolusi berkenaan sambil mendakwa ia hanya sandiwara bagi sebahagian anggota majlis.

“Bagi Israel, ini hakikat harian. Usul ini dikemukakan tanpa kecaman terhadap Hamas, tanpa kecaman terhadap pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober,” katanya.

Dalam sesi itu, Danon turut bertikam lidah dengan Duta Algeria, Amar Bendjama, yang dengan nada kecewa berkata: “Kepada rakyat Palestin, maafkan kami kerana Majlis ini gagal menyelamatkan anak-anak anda… usaha ikhlas kami hancur di tembok penolakan.” – AFP

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author