Antarabangsa
Afghanistan tolak tuduhan gagal perangi dadah, Dakwa penanaman poppy turun 90 peratus
- Donald Trump dakwa lima negara termasuk Afghanistan gagal dalam usaha memerangi dadah. Menurut laporan Reuters, Trump menyebut Afghanistan, Colombia, Burma (Myanmar), Bolivia dan Venezuela sebagai negara yang tidak memenuhi komitmen antarabangsa dalam tempoh 12 bulan lalu.
- “Saya tidak tahu dari mana Trump mendapat angka itu, tetapi nampaknya beliau mahu sekali lagi menghukum rakyat Afghanistan atas alasan isu dadah.” -Penganalisis politik,Saleem Paygir
KABUL – Emirat Islam Afghanistan menolak dakwaan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa negara itu gagal memerangi dadah, sambil menegaskan penanaman dan penyeludupan poppy kini hampir sifar.
Jurucakap Timbalan Emirat Islam, Hamdullah Fitrat berkata, isu dadah kini lebih membimbangkan di negara-negara jiran berbanding Afghanistan.
“Sebenarnya, di sesetengah negara jiran penanaman dan perdagangan dadah semakin meningkat. Dakwaan terhadap Afghanistan adalah palsu, dan kami menolaknya,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Donald Trump mendakwa lima negara termasuk Afghanistan gagal dalam usaha memerangi dadah. Menurut laporan Reuters, Trump menyebut Afghanistan, Colombia, Burma (Myanmar), Bolivia dan Venezuela sebagai negara yang tidak memenuhi komitmen antarabangsa dalam tempoh 12 bulan lalu.
“Saya dengan ini menetapkan Afghanistan, Bolivia, Burma, Colombia, dan Venezuela sebagai negara yang jelas gagal dalam tempoh 12 bulan lalu untuk menepati obligasi di bawah perjanjian antarabangsa menentang dadah,” kata Trump.
Bagaimanapun, penganalisis politik Mohammad Aslam Danishmal berkata, sejak Emirat Islam kembali berkuasa, langkah serius telah diambil untuk mengawal penanaman dan penyeludupan dadah.
Laporan PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pada 25 Jun lalu turut menyatakan berlaku pengurangan sehingga 90 peratus dalam penanaman dan pengeluaran dadah di Afghanistan sejak pengharaman rasmi penanaman poppy pada 2022.
“Saya tidak tahu dari mana Trump mendapat angka itu, tetapi nampaknya beliau mahu sekali lagi menghukum rakyat Afghanistan atas alasan isu dadah,” tegas seorang lagi penganalisis politik Saleem Paygir.
Sejak 3 April 2022, pemimpin Emirat Islam telah mengeluarkan dekri rasmi yang mengharamkan penanaman, pengeluaran, pembelian, penjualan dan penyeludupan dadah di seluruh Afghanistan.-The Merdeka Times