Terkini
(VIDEO) Wira Maritim: Tanggungjawab, Pengorbanan & Pesanan Merdeka
PERAK – Tatkala jutaan rakyat bersiap sedia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68 negara, ada wira-wira tidak didendang yang tidak berada di dataran mahupun di jalan raya, sebaliknya berbakti di lautan biru menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.
Bagi Leftenan Komander Maritim Mahathir Ismail, Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Nusa, setiap kali berlayar beliau bukan sahaja memikul amanah besar terhadap aset dan anggota di bawah pimpinannya, tetapi juga memikul tanggungjawab terhadap maruah negara.
“Bila kita berada di laut, keputusan pantas perlu dibuat kerana ia melibatkan keselamatan kapal, kru dan juga imej negara. Kadangkala dalam operasi menahan bot penyeludup, satu keputusan salah boleh beri kesan besar kepada agensi dan Malaysia sendiri,” jelasnya ketika ditemui dalam satu sesi wawancara eksklusif bersama The Merdeka Times.
Mengemudi KM Nusa bukan tugas mudah. Cabaran cuaca buruk, ancaman penjenayah laut serta operasi menyelamat mangsa lemas menjadikan setiap misi sarat risiko.
Mahathir mengakui, faktor cuaca sering menjadi ujian utama.
“Kalau ribut melanda, penyelamat pun boleh jadi mangsa. Jadi, keseimbangan perlu ada, kita mahu selamatkan mangsa, tetapi keselamatan anggota juga tidak boleh dikompromi,” katanya.
Bagi anggota lama, Bintara Muda Maritim Muhammad Asri, 53, yang sudah lebih tiga dekad berkhidmat dalam pertahanan maritim dan tentera laut, setiap operasi yang dijalankan meninggalkan kesan mendalam.
Beliau masih mengingati kejayaan besar menahan dua tan dadah di Johor pada 2019, selain operasi berbahaya pada 2020 yang hampir meragut nyawa anggotanya.
“Ancaman sebenar adalah bila berdepan penjenayah yang sanggup melawan. Keselamatan anggota menjadi taruhan. Alhamdulillah, setakat ini tiada nyawa anggota terkorban, tetapi risiko itu sentiasa ada,” katanya dengan nada serius.
Keistimewaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), menurut Asri, adalah kuasa menyeluruhnya.
“Maritim satu-satunya agensi di laut yang boleh menggunakan bidang kuasa pelbagai akta termasuk Kastam, Polis Marin, Jabatan Laut. Inilah kekuatan kami berbanding jabatan lain yang hanya beroperasi dalam bidang masing-masing,” jelasnya.
Bagi kedua-dua pegawai ini, tugasan berbulan-bulan di laut bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal dan mental, malah juga pengorbanan meninggalkan keluarga tercinta demi keselamatan negara.
Di sebalik semua cabaran itu, semangat kemerdekaan menjadi azimat utama mereka untuk terus berkhidmat.
Asri menitipkan pesanan khusus buat generasi muda:
“Hargailah pengorbanan orang terdahulu yang mempertahankan perairan kita. Jangan biarkan perjuangan itu terhenti. Anak muda hari ini perlu sambung legasi ini, kerana kedaulatan negara adalah amanah untuk semua.”
Mahathir pula mengingatkan bahawa lautan bukan sekadar sempadan, tetapi nadi utama ekonomi dan keselamatan negara.
“Kedaulatan perairan bukan tanggungjawab Maritim sahaja, tetapi seluruh rakyat. Bila rakyat membantu dengan maklumat, kita semua sama-sama menjaga maruah negara,” katanya penuh tekad.
Mereka mungkin tidak berarak di hadapan khalayak ramai atau menerima tepukan gemuruh, tetapi bagi Leftenan Komander Mahathir, Bintara Muda Asri dan seluruh warga Maritim, setiap hembusan angin laut adalah tanda kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air.
Dan pada bulan kemerdekaan ini, pengorbanan mereka di lautan adalah cerminan sebenar erti merdeka iaitu kebebasan yang hanya boleh dipertahankan melalui keberanian, disiplin dan kesetiaan tanpa syarat.-The Merdeka Times