Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Video serangan orca ke atas ‘Jessica Radcliffe’ palsu

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Hasil semakan fakta mendapati tiada sebarang laporan media sahih mengenai insiden melibatkan individu bernama Jessica Radcliffe diserang orca.
  • Portal Vocal Media turut menyatakan tiada bukti kukuh seperti obituari, kenyataan rasmi taman marin atau laporan keselamatan pekerjaan (OSHA) berkaitan kes ini.
  • Siasatan The Star Kenya melaporkan suara dalam video tersebut didapati dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

 

Satu video tular di media sosial mendakwa seorang jurulatih marin bernama Jessica Radcliffe diserang dan dibunuh oleh seekor orca, atau paus pembunuh.

Klip tersebut, yang tersebar luas di TikTok dan Facebook, mendakwa insiden berlaku ketika persembahan, dan Radcliffe meninggal dunia 10 minit selepas diselamatkan.

Terdapat juga video lain yang mendakwa serangan berlaku selepas darah haid Radcliffe bercampur dengan air.

Namun, kebanyakan video berkenaan tidak memberikan penjelasan tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku. Hasil semakan fakta mendapati tiada sebarang laporan media sahih mengenai insiden melibatkan individu bernama Jessica Radcliffe diserang orca.

Portal Vocal Media turut menyatakan tiada bukti kukuh seperti obituari, kenyataan rasmi taman marin atau laporan keselamatan pekerjaan (OSHA) berkaitan kes ini.

Selain itu, siasatan oleh The Star Kenya melaporkan suara dalam video tersebut didapati dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Pencarian lanjut oleh HT.com juga tidak menemukan rekod kewujudan jurulatih marin bernama Jessica Radcliffe, sekali gus mengesahkan beliau adalah identiti rekaan.

Walaupun laporan ini palsu, sejarah pernah mencatatkan beberapa kes serangan orca terhadap jurulatih. Kes paling terkenal berlaku pada 2010 apabila jurulatih kanan, Dawn Brancheau, maut dibunuh seekor orca bernama Tilikum semasa persembahan di SeaWorld Orlando, Amerika Syarikat.

Kejadian itu menjadi subjek dokumentari “Blackfish” pada 2013 yang membincangkan isu etika memelihara mamalia besar dalam kurungan.

Tahun sebelumnya, Alexis Martinez, jurulatih dari Sepanyol, terbunuh selepas orca bernama Keto merempuhnya semasa sesi latihan. Pada 1991, seorang jurulatih di Kanada turut mati selepas ditarik ke dalam air oleh tiga ekor orca.

Kes-kes inilah yang dipercayai menjadi rujukan pihak tertentu untuk mencipta naratif palsu tentang kematian Jessica Radcliffe, bagi memberi gambaran seolah-olah kejadian itu benar-benar berlaku.

Orca, yang dikenali sebagai paus pembunuh, merupakan pemangsa pintar dan sosial yang boleh ditemui di seluruh dunia, tetapi dakwaan tentang insiden membabitkan ‘Jessica Radcliffe’ adalah rekaan sepenuhnya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author