Terkini
(VIDEO) Tinjauan dedah belia akui risiko HIV namun kesedaran masih rendah
KUALA LUMPUR — Pendedahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa 75 peratus kes HIV yang direkodkan pada tahun lalu melibatkan golongan belia berumur antara 20 hingga 39 tahun, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan anak muda.
Bagi Muhammad Lutfi, 25, kenyataan KKM bahawa lebih 70 peratus peningkatan kes HIV berlaku dalam kalangan hubungan sejenis amat mengejutkan.
“Saya terkejut bila KKM kata dah 70 peratus naik kes HIV bersama lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan,” katanya.
Namun, bagi beberapa pelajar lain, angka tersebut tidak begitu memeranjatkan.
“Saya tak terkejut sangat, memang saya expect benda ini berlaku,” kata Izzat, 28 tahun.
Pandangan itu turut dikongsi Adlan Azhan, 22, dan Irfan Fahim, 20, yang menyatakan bahawa gejala ini sudah lama wujud.
Menurut Izzat, pendedahan awal kepada unsur salah laku seksual berlaku seawal zaman persekolahan, malah ada yang terdedah sejak usia tujuh tahun.
“Kalau kita dengar daripada kawan-kawan, kisah mereka yang grooming ini memang dah lama berlaku,” jelasnya.
Khairul Iman, 24, pula berpandangan kurangnya pengawasan terhadap kanak-kanak dan akses mudah kepada pornografi menjadi punca utama.
“Sekarang ini, pornografi bukan susah nak dapat, risiko ketagihan makin tinggi,” ujarnya.
Adlan Azhan pula menambah bahawa kurangnya teguran dan nasihat daripada orang dewasa menyebabkan budaya seks bebas dan songsang terus berleluasa.
“Walaupun perkara ini jelas haram dalam agama, ramai yang tidak menegur,” katanya.
Bagi Muhammad Lutfi, masalah ini juga berpunca daripada pendidikan yang salah dan pengaruh luar.
“Sekarang ramai influencer di media sosial yang kata kita boleh sayang siapa saja. Ia menentang fitrah kita,” tegasnya.
Walaupun ada di antara mereka yang mengenali individu positif HIV, rata-rata responden menyatakan mereka cuba membantu, memberi sokongan moral, dan berharap golongan tersebut berusaha meninggalkan gaya hidup berisiko.
“Kalau ada perasaan sebegitu, jangan sebarkan kepada orang lain, lebih baik simpan dan cuba berubah” tegas seorang lagi belia, Irfan Fahim.
Laporan KKM sebelum ini turut mendedahkan bahawa hubungan sejenis kekal menjadi penyumbang utama jangkitan HIV baharu di Malaysia, dengan trend peningkatan dalam kalangan belia yang membimbangkan pihak berkuasa kesihatan.-The Merdeka Times